Ahad, 28 April 2013

Medium Berkata-kata

Ligat jari-jemari menaip
Lantang meluahkan apa yang terlintas di hati
Niat untuk memberi kepuasan
Apabila ada yang baca, ada yang respons.

Namun,
Itukah yang laman sosial galakkan?
Mendorong kalian perli-memperli,
Sindir-menyindir sesama yang lain
Itukah fungsi medium ini?

Sungguh lantang kata-kata
Sungguh berani caci maki
Fikirnya sudah cukup besar, sudah cukup gagah

Belum!
Kalian hanya gagah di sebalik nama
Berselindung di sebalik papan kekunci
Pabila berdepan, kecut sekecut-kecutnya
Banggakah?

Hampir setiap entri meluahkan rasa ketidakpuasan
Hampir setiap hari menyatakan kekerasan
Tidak malukah kalian?

Menyebarkan masalah sendiri di khalayak
Memalukan diri sendiri dengan bahasa kesatnya
Orang juga bisa menilai
Bisa ketahui jati diri kalian melalui tulisan.

Gunakanlah medium ini sebaiknya
Elakkan menyakiti insan lain
Kalau pun kalian tidak berniat sebegitu
Kononnya hanya untuk kepuasan
Bagaimana jika ada yang terasa tanpa sedarmu?
Dapat kalian cari seorang demi seorang
Untuk memohon maaf sebelum 'pulang'?

Jangan tertambah dosa sendiri
Jangan buka pekung diri
Peringatan untuk diri sendiri ..

Harga Sebuah Dakapan

Tak ternilai.

Itu yang dapat kuungkapkan
Dakapan itu sungguh jujur
Malah ikhlas & tulus.

Insan pertama yang kudakap
Yang paling istimewa dalam hidupku
Masih kuingat saat itu
Kau tawarkan dakapan penuh faham itu
Aku sambut dengan selemah-lemahnya
Terasa kekuatan itu kau salurkan padaku
Melalui urat bersalirat
Terus ke jiwaku.

Kini,
Saat aku dan kau begini
Aku beruntung
Aku masih punya insan yang kedua kudakap
Dalam hidupku selepas kau.

Tapi kali ini ia beza
Aku yang merendahkan diri
Minta diri ini didakapnya
Bagi menagih seribu kekuatan darinya
Dengan senyuman dia rela
Dengan senyuman dia berikanku pegangan baharu.

Dia pendengar terbaikku
Dia penasihat terulungku
Walau aku dan dia tak seutuh pabila bersama kau
Namun dia memahamiku
Aku juga memahaminya
Fahamannya kupegang teguh
Pesanan keramatnya kugenggam erat
Kuterapkan menjadi prinsip baruku.

Dua dakapan ini terlalu berharga bagiku
Teramat membahagiakanku
Terasa diri ini masih punya 'sesuatu'.

Itulah kali pertama aku didakap ikhlas
Kali keduanya pula merupakan yang terakhir bagiku
Mungkin ada yang ketiga
Kuharap ia daripada insan yang kuharap-harapkan
Si dia yang kupuja tinggi.

Sungguh, ia sangat berharga!

Kuharap aku juga dapat menenteramkan insan yang kusayangi
Dengan mendakapnya sedemikian rupa
Dengan dakapan seikhlas itu ..

Sabtu, 27 April 2013

Betapa Istimewanya Kau Dihatiku

Aku sayang kau.
Aku cintakan kau.

Aku selalu berada dengan kau
Tak kira waktu kau sedih atau gembira
Aku tak jemu mention nama kau di Twitter, Facebook & Instagram
Semua itu untuk menyokong kau
Tak kira apa kau buat, apa kau fikir
Aku tetap setia sokong.

Tapi ketika aku sedih
Aku juga mahukan bimbingan kau
Aku juga mahukan sokongan kau

Selalu aku terbayangkan kau datang
Kau tenangkanku
Kau hadir menceriakanku
Halusinasiku denganmu sangat membahagiakan
Walau sekadar angan.

Bila kusedih,
Kutatap gambar kau
Kutonton semula video klip dari kau
Itu membuatkan aku tersenyum
Dan cukup kuat untuk buat aku kembali tersenyum.

Begitulah hebatnya diri kau di mataku
Betapa pentingnya kau di sisiku
Biarpun kau bukan milikku ..

» Mr Perfect «

Selembik-lembik Manusia

Jam sudah 12.00am lebih
Aku masih begini
Mataku masih segar mencelik
Otak masih ligat berfikir.

Aku tahu,
Hidup insan mana yang tiada masalah?
Hidup makhluk mana yang tiada suramnya?
Yang menjadi aras adalah cara kita selesaikannya.

Aku tahu mungkin agak songsang
Tapi aku rasakan aku terlalu lemah
Aku terlalu lembik
Aku tak sekuat luaranku.

Luaranku,
Aku kelihatan kuat, kasar, tiada masalah
Tapi dalamanku,
Aku adalah selemah-lemah insan
Selembik-lembik manusia di dunia.

Memang aku selalu nasihatkan orang sekelilingku
Tapi aku hanya mampu menasihat
Aku tak mampu melakukan!

Terasa mahu saja aku lenyapkan diri
Hilangkan jejak
Lari daripada semua situasi ini
Lari daripada perasaan ini

Namun,
Aku tak mampu
Aku tak punya cara untuk lari dari semua ini
Aku tetap perlu di sini
Hadapi semuanya
Bahkan,
Lari daripada masalah adalah tindakan si pengecut.
Pengecut yang berbesar langkah pabila ramai
Tapi lari lintang-pukang tatkala berseorangan.

Akukah itu?

Tuhan,
Lenyapkan aku dari dunia ini
Aku perlukan izinMu
Aku perlukan penenangMu
Bawa aku bersamaMu
Tarik balik nyawaku
Kembalikan ku ke pangkuanMu.

Agar aku lebih tenang
Agar aku lebih bahagia
DenganMu ..

Ada Hikmah

Ada hikmah mengapa aku alaminya
Ada hikmah
Kini aku nampak 

Kalau hal ini tak jadi
Kalau perkara ni tak dibangkitkan
Aku tak tahu apa dia rasa
Aku tak tahu apa aku telah lakukan
Aku juga mungkin tak tahu apa yang orang sekeliling aku fikir tentang aku.

Aku kepala angin
Aku tak fikir pasal sahabat aku
Aku kurang peka hal sekeliling
Aku menyakiti hati mereka
Dan, aku BUKAN sahabat yang baik.

Kini aku sedar
Aku berazam untuk mengubahnya
Aku mencuba untuk memuaskan hatinya
Kerna aku tahu
Hanya dia di sisi tatkala aku memerlukan
Hanya dia yang menghulurkan bahunya untuk kutangiskan
Hanya dia.

Tuhan,
Bantu aku perbaiki ini
Bantu aku berubah diri
Bantu aku.

Mungkin,
Segalanya bermula dariku
Aku bersalah namun kusalahkan mereka
Aku terlalu ego?
Mungkin juga
Aku yang tersasar
Aku yang melampau.

Betul kata ibuku,
Jangan terlalu rapat dengan orang
Nanti ada yang akan terasa
Sama ada diri sendiri atau yang lain
Jaga jarak & perasaan juga.

Allah,
Kuatkan hatiku
Mengapa saat ini aku terlalu lemah?
Aku berasa aku terdampar tanpa teman
Allah,
Hantarlah seorang insan yang mampu kunyatakan segala rasa ini padanya.
Bawakan padaku seorang yang menyayangi & memahamiku seadanya
Adakan untukku seorang insan yang bisa kujadikan peneman sejatiku ..

Jumaat, 26 April 2013

Ku Tak Mampu

"Pernah sudah kucuba tuk melupakanmu
Namun aku tak mampu kekasihku
Telah kucuba untuk jalani semua
Rasa cintaku yang tulus untukmu

Jauh sudah kujalani arti hidup ini
Yang kuharap dapat buatku berdiri
Biarkanlah kujalani semua
Tanpa dirimu di sisiku lagi

Kutahu aku sungguh mencintaimu
Tak mampu redupkan luka di hatiku
Biarkan kucuba untuk melupakanmu
Walauku tak mampu

Sudah kucuba untuk melupakanmu
Meski ku masih ingin mencintaimu
Biarkan kucuba untuk melupakanmu
Walauku tak mampu

Kutahu aku sungguh mencintaimu
Tak mampu redupkan luka di hatiku
Biarkan kucuba untuk melupakanmu
Walauku tak mampu.."

Nyanyian Judika Sihotang,
Jejaka ini belum pernah mengecewakanku.
Boleh kata semua lagunya aku sukai!

Kali ini,
Aku tertarik dengan lirik & mainan suaranya.
Lirik itu begitu kena denganku
Suaranya yang superb itu pantas sekali dengan ilhamnya ini.

Aku tersentuh,
Aku sangat tercandu.

Kini ia menjadi teman sejatiku ..

Khamis, 25 April 2013

Tanda Tanya

Puas aku mengoyak tengkorak
Mengeluarkan otak
Bagi mencari sekeping tanda.

Tanda yang memungkinkan
Aku menyeberangi lautan kehendak
Sedalam mediterranean.

Keyakinan terpupuk makin menebal
Menenggelamkan darurat,
Memijak kepayahan
Untuk berdiri separas kehendak.

Mungkin ini percubaan pertama
Yang melonjak ke akhirnya
Mungkin juga sebagai nisan
Berkuburnya rasa ..

Rabu, 24 April 2013

Hadirnya bayangan rinduku

Aku bahagia
Aku gembira
Kerna kau di sini, denganku.

Namun kau hanya sekadar bayangan
Bayangan rinduku yang memberat
Merendangkan ranting-ranting harapan.

Betapa sukarnya untuk kau kulepaskan
Kau yang selama ini sentiasa menemani
Kau yang menenteramkan jiwa ini
Berat sekali, payah.

Walau kutahu aku tidak layak begini
Namun kurelakan jiwa untukku main
Kuhamparkan hati untuk kau hadir.

Ternyata,
Kerinduanku berjaya memanggilmu
Kasih sayangku membentuk rasa itu
Rasa yang semua dapat rasa
Pabila dada terasa segar penuh dengan oksigen
Pabila mulut terus tegang tersenyum puas.

Isnin, 22 April 2013

Bagaimana?

Mendengar lagu kegemaran kau
Sudah cukup untuk aku rasakan
Kehadiran kau di sisi
Seperti waktu itu.

Aku tahu
Coldplay, Deftones, Red Hot Chilli Peppers, & Korn
Itu semua 'mainan' kau
Sebab itu aku juga mendengar muzik mereka
Aku cuba minati mereka.

Aku juga tahu
Seni, sukan, pertahanan diri, kereta, & romantis
Itu dirimu
Sebab itu sukakannya juga
Aku suka siapa saja yang sukainya.

Kerna aku mahu kau dan aku sama
Nanti aku bisa fahami kau
Jiwa & rasa kau
Dapatlah aku bahagiakan kau.

Mendengar nasihat rakan
Memberikan aku satu sinar baru
Harapan dan impian aku meninggi
Tapi segenggam harapan ini
Ada tunas-tunas khuatir menumbuh
Khuatir jika aku hanya memburukkan keadaan
Mencemarkan situasi.

Jika aku mampu bahagiakan kau
Dapatkah aku kekalkan hubungan baik
Kau dan dia?
Dapatkah aku kekalkan hubungan baik
Keluarga kau & aku?
Dapatkah aku menjaga nama baik keluargaku?

Kata rakanku,
Jika aku yakin mahu
Semuanya boleh terjadi
Semuanya bermula dengan nawaitu dan usaha
Jika mahu, seribu daya boleh diberi.

Namun aku tidak yakin
Aku tidak percaya
Aku takut,
Impian ini hanya halusinasi semata
Harapan ini cuma fiktif belaka.

Jadi bagaimana?

Sabtu, 20 April 2013

Keterdesakkan Menyiksa

Kenapa aku rasa aku sunyi?hh
Terdesak sangatkah aku untuk berkasih?
Adakah aku dalam kesempitan?
Hingga aku akan merasa iri
Setiap kali melihat pasangan itu memadu kasih?

Terdesak sangatkah aku hingga mahu menjadi yang kedua?
Tiadakah insan lain yang mahu kutabur cinta?

Terasa kesunyian yang melampau
Terasa kesepian yang terlalu
Keseorangan
Aku bagai tak mampu lagi berdiri sendiri

Aku memang terdesak
Namun aku perlu kembali padaNya
Dia yang selalu di sampingku
Dia yang sentiasa menyayangiku
Dialah tempatku berlindung
Dan tempatku bergantung harap.

Khamis, 18 April 2013

Hanya Aku & Mimpi

Semakin hampir waktu untuk aku bertemumu, semakin aku rindu
Semakin dekat waktu, tersedarku dari lamunan
Hanya aku & mimpi
Cinta tak pernah ada.

Berdiri kaku
Mataku memandangmu.

Salahkah aku
Mencintaimu sepenuh hatiku?
Katakan sesuatu
Jangan biarku keliru
Dan terus berlalu ..

Selasa, 16 April 2013

Kekasih 'Gelap'

"Kumencintaimu lebih dari apapun
Meskipun tiada satu orang pun yang tahu
Kumencintaimu sedalam-dalam hatiku
Meskipun engkau hanya kekasih gelapku .."

Bait-bait lirik tersebut mudah menyentuh perasaanku
Terasa lemahnya jiwa ini
Bisa terusik dek lagu mendayu.

Tapi aku takkan tersentuh jika bukan ia bermakna.
Aku takkan lemah jika bukan ada disebaliknya.

Mahuku ceritakan
Tapi pada siapa?
Dulunya aku punya sobat yang sentiasa berkongsi rasa
Kini dia 'hilang' tanpa alasan
Aku juga tak bertanya apa-apa persoalan.

Namun aku percaya,
Selagi tidak kulepaskan
Selagi itulah hati ini sengsara
Selagi tidak kuluahkan
Selagi itulah jiwa ini dipenjara.

Tuhan, bantu aku.
Aku sayang dia.
Aku cintakannya.
Meski kutahu dia bukan untukku
Meski dia terlalu jauh dariku
Kerna aku terlanjur cinta padanya..

Dunia

Dunia sekarang
Penuh dengan amarah
Semua hendak dibentak
Mahu bertekak.

Mengalah jauh sekali
Berundur jarang terjadi
Hanya mahu kepuasan hati
Kemenangan yang tak pernah abadi.

Ahad, 14 April 2013

Aku RINDU !!

"Saat itu
Pabila mata kau & aku bertentang
Perasaan kita setentang
Fikiran kita tak langsung menentang.
Saat itu
Pabila tangan kau & aku bersentuh
Hati kita bertemu
Jiwa kita berpadu
Dan kurasakan cinta kita bersatu.."

Ahh!
Persetankan semua halusinasi merapu!
Kembali ke alam sedarku!
Jauh sudah fikiran berlalu
Menebar luas harapan senjaku.

Namun aku rindu
Aku sangat rindu
Kurindukan raut wajahnya
Kurindukan jemari sejuknya
Kurindukan wangian harumnya

Pandangan ikhlas itu
Ucapan ringkas itu
Ia bagai mencandukan aku
Terdesak!
Sungguh, aku merindukanmu ..

Sabtu, 13 April 2013

Doaku Untukmu, Sayang

Kau mahu apa pasti 'kan kuberi
Kau minta apa akan kuturuti
Walau harus aku terlelah dan letih
Ini demi kamu, sayang.

Aku tak akan berhenti
Menemani dan menyayangimu
Hingga matahari tak terbit lagi
Bahkan bila aku mati
Ku'kan berdoa pada Ilahi
Untuk satukan kami di syurga nanti.

Tahukah kamu apa yang kupinta
Di setiap doa sepanjang hariku?
"Tuhan tolong aku
Tolong jaga dia.
Tuhan, aku sayang dia.."

p/s : Buat yang teristimewa, Mr. Perfect :')

Terima kasih kali SEJUTA!

Aku tak terkata
Lidahku berat berbicara
Kakiku menggeletar langkahnya
Mataku terus merenungnya
Debar dadaku bagai mahu pecah rasanya
Apabila kau di hadapanku!

Tidak kuduga kau masih mengenaliku
Tidak kusangka kau terus mengingatiku
Saat kuberitahu namaku
Dengan yakin kau menyebut namaku
Sungguh, kau kenaliku
Meski kuhanya wujud dalam alam mayamu.

Kau tak kekok melayanku
Malah kau hargaiku
Kau hargai usaha-usahaku
Kau terkejut aku sanggup datang dari jauh
Kau terkejut dengan semua yang kulakukan
Wajah penghargaanmu itulah yang sangat kusayangi
Wajah tulus & ikhlas itulah yang aku dambakan
Saat tangan kau & aku bersentuhan
Terasa hati kita berpadu
Terasa jiwa kita bersatu!

Sejuk tanganmu, sejuk lagi jariku
Dua kali bersalaman,
Yang pertama aku tak percaya
Yang kedua aku jatuh cinta!

Jatuh cinta kembali padamu
Dek senyum manismu
Dek sopan mesramu
Dek lakonan bersahajamu
Dek penghargaan tak terhinggamu
Hatiku langsung menjadi milikmu!

Berat kau izinkan kupulang
Berat lagi kakiku melangkah
Terima kasih kali buat segala-galanya
Penghargaanmu itu kuterima bangga
Pesananmu itu kupegang selamanya
Memori kita terus mekar
Takkan pernah layu
Takkan pernah pudar
Bahkan takkan lekang meski dijemuran masa
Takkan sesekali hilang dari ingatanku!

Semalam dalam sejarah hidupku
Pertemuan yang begitu menyentuh hatiku
Pertemuan yang mencandukan hatiku padamu
Kuharap ini bukan pertemuan terakhir untuk kita ..

Halusinasi dalam realiti

Bersusah-payah aku gigihkan
Berhempas-pulas aku usahakan
Bersama satu harapan halusinasiku
Untuk kubawa pulang risalah kegembiraan
Ternyata tak sia-sia
Jelas, amat berbaloi!

Saat pertama kali mataku terlihat kelibatmu
Mataku tercandu pada wajah idamanku
Terus tertancap tanpa sikit pun aku berpaling
Engkaukah itu?
Benarkah apa yang kulihat ini?

Mata telus ini terus mengekorimu
Ke kiri, ke kanan pentas gahmu
Terus memerhatikan setiap gerak-geri & riak wajahmu
Aku terpinga-pinga!
Masih tidak mempercayai kejujuran mata yang melihat!

Jumaat, 12 April 2013

Pementasan Teater Ratna Kadhal

Projek ketiga dalam Projek Pentas Balik.
 
11 dan 12 April ; 8.30 mlm
13 dan 14 April ; 3.00 ptg & 8.30 mlm.
di MORNE ART GALLERY, TINGKAT 10, MENARA MARA, JALAN TAR, KUALA LUMPUR
 
“Kalau tahu ertinya rindu, jangan kau lupa ertinya seksa. Namaku Ratna” 
“Kalau seksa dalam merindu, kan ku pujuk untuk bertemu. Namaku Nasir”
 
Kampung Bendang Hitam mempunyai dua buah kumpulan kongsi gelap yang berkuasa di dalamnya dan masing-masing berimpian mahu memiliki kuasa penuh di kampung sendiri. Ratna merupakan adik kepada ketua kumpulan kongsi gelap diketuai oleh Siva, yang bermusuhan dengan sebuah kumpulan kongsi gelap yang diketuai oleh Lokman yang mana Nasir ialah salah seorang ahlinya. Nasir terlihat Ratna yang sedang menari di sebuah majlis keramaian di dalam kampungnya, lalu tertarik hati dengan kelembutan pada gerak tari yang dipersembahkan serta sikap Ratna yang penuh kesopanan dan keindahan akhlak. Setelah sekian lama, mereka telah menyimpan rasa suka antara satu sama lain dan sering berjumpa setelah habis setiap keramaian yang melibatkan Ratna sebagai penari.
 
Kisah cinta romantis umpama Shah Jehan dan Mumtaz, tragis hanya kerana Shah Jehan berlainan bangsa.
 
*Pementasan dalam bahasa Melayu dan Tamil
 
Dibintangi oleh:
Beto Kusyairy
Aloy Paradoks
Dynna Zainal
Azman Hassan
Suhana Othman
Ard Omar
dan geng ProjekBB.l

Tiket berharga: RM25 (nett)
 
Untuk pembelian awal &maklumat pementasan sila hubungi:
A.A - 017 98232372
N.A - 010 760 3101
 
Revolution Stage 
@revolutionstage
#RatnaKadhal / #PentasBalik
FB : Revolution Stage 
Emel: stagerevolution@gmail.com
revolution-stage@blogspot.com

Bantuku, ya rabb..

Aku tak rasa apa yang kubuat ini betul.
Namun semua ini kulakukan demi dia yang kusayangi.
Aku tidak kisah jika aku berada dalam kesulitan selagi aku dapat membahagiakannya.
Aku sanggup.

Dan kuharap, Kau juga sentiasa membantuku dalam mencapai impian & harapanku, ya rabb.
KuperlukanMu, kutagih simpatiMu wahai Tuhan yang Maha Mengasihani & Maha Memahami.
Restui & berkati segalanya ..

Penat !

Penat!
Situasi yang memenatkan
Keadaan yang meletihkan.

Dikelilingi oleh pelbagai ragam keegoaan
Diselaputi oleh dendam yang menebal
Aku penat
Aku letih.

Mahu saja kucampakkan benih kesedaran
Kehati setiap daripada kalian
Menyemai tunas kemaafan
Menumbuhkan pohon persahabatan.

Kamu,
Tidakkah kamu berasa letih dengan semua ini?
Tidakkah kamu berasa lelah dengan riak ini?
Aku sejujurnya,
Mahu kuterajang hati kalian!
Mahu kutendang, kusepak jiwa kalian!
Agar kalian tersedar daripada ulitan amarah,
Bangkit dari mimpi penuh dendam.

Sesungguhnya, aku penat!
Amat!

Ahad, 7 April 2013

Aku bukan begitu.

Aku bukan jenis yang manusia yang sanggup berpaling muka dengan sahabat sendiri hanya disebabkan oleh seorang lelaki.
Lagipun lelaki itu bukan terlalu berbaloi untuk kurebutkan.
Aku tak mahu persahabatan yang kubina sedari 4 tahun yang lalu menjadi hambar hanya kerana hal temeh seperti ini.

Dan,
Kalau dia mahukan lelaki itu, dia boleh ambil.
Aku tidak terlalu hamakkan lelaki itu untuk menjadi milikku.

Kuakui lelaki itu ada tempat dihatiku.
Namun 'tempat' itu sudah terlalu 'jauh' untukku ulang kembali.
Kini 'tempat' teratas dalam hatiku menjadi tempat 'bayangan halusinasiku' bermaharajalela.

Hanya DIA.
Cukuplah kugelarkannya Mr. Perfect.
Memang, dia begitu 'sempurna' di mata hatiku.
Tiada cacat celanya yang mengganggu 'rasa' ini.
Cuma, dia bukan milikku.
Tapi tetap aku bahagia pabila dia juga bahagia bersama pengarang jantungnya.
Cukuplah sekadar ini.
Aku tidak perlu putus kawan disebabkan lelaki.

Aku sudah cukup matang untuk memilih mana satu yang lebih baik untukku & orang lain.
Aku faham.
Oleh itu, kuharap kau juga faham.

Sabtu, 6 April 2013

Kuperlukanmu

Saat hati rasa kosong, lohong
Tak semena-mena kurindukan pelukan itu
Kurindukan usapan di kepalaku
Kurindukannya!

Manakan kudapat pelukan dan usapan itu lagi?
Manakan kurasa kasih sayang seikhlas itu lagi?
Apa aku tidak layak untuk merasakannya?

Bukanku meraih simpati
Namun setiap kali kurasakannya
Kuperlukan kalian
Kalian yang sudi mendengar
Cukuplah dengan hanya mendengar
Aku tidak minta kalian mensaratkan otak, memeningkan kepala memikirkannya
Aku hanya mahu kalian dengar, rasa dan fahamkan
Itu saja.

Cukup bagiku jika ada yang memahami
Cukup bagiku jika ada yang mengambil berat
Apatah lagi yang sentiasa di sisiku
Tikaku memerlukan bahu yang sudi menjadi tempat lentuk kepalaku
Tikaku memerlukan tangan yang menggenggam erat jari-jemariku
Dan tikaku memerlukan mata yang sedia merenung ke dalam mata hatiku.

Dimanakah insan yang sudi melakukan itu denganku?
Insan yang sanggup bersama dalam susah senangku.
Dan insan yang sentiasa menemaniku dalam gelak tawa dan senduku.

Kumencarimu, sayang.
Kuperlukanmu ..

Jumaat, 5 April 2013

Kau Yang Teratas

Terbaring aku di sini
Mata menatap langit
Luas langit ciptaanNya
Seluas dambaan yang kupunya.

Aku mungkin lelah
Mungkin jua menyerah
Tak tahan lagi mengerah
Hati kini tertusuk, berdarah.

Ku akui kau yang pertama
Dan hingga kini kau masih yang teratas ..

Khamis, 4 April 2013

Isi Hati

Apa sebenarnya tujuan hidup aku?
Adakah selama ini aku dibesarkan untuk memenuhi segala keinginanmu?
Atau untuk menjadi 'kuli sepenuh masa' di samping melaksanakan semua 'misi' mu?

Kerana aku merasakan yang aku dihidupkan hanya untuk menjadi 'pembantu rumah'mu.
Hingga aku merasakan yang aku perlu membalas setiap suap nasi yang kusuap ke mulut dengan menurut segala kemahuanmu.
Terasa sangat sakit di dada ini apabila kau beraksi seolah-olah ilmu itu tidak penting kepadaku.

Ya memang, kau sentiasa mahu aku berada dalam 'kelompok tertinggi 'setiap kali adanya cubaan itu.
Kerana nanti bila aku berjaya menggapainya, kau bisa beriak bangga di hadapan mereka yang kecundang.
Tapi itu semua tidak penting buatku.
Kerna apa yang kuinginkan adalah perhatian darimu.
Kau tidak pernah menanyakan keadaan dan situasiku.
Kau tidak pernah memberikan aku apa yang remaja sebayaku dapatkan.
Ya, kau mahu aku bawa pulang 'sijil kebanggaan', tapi di mana usahamu?
Tidak pernah kulihat usahamu ke arah itu.

Aku yang harus bersengkang mata, berhempas-pulas bagi memberikanmu 'kebanggaan itu'.
Aku yang perlu mencari 'inisiatif' untuk membawakan kepadamu kejayaan itu.

Apa kau rasa sudah cukup segala pengorbananmu buatku?
Apa kau fikir aku tidak punya rasa?
Aku sering mencemburui rakan-rakanku apabila mereka menceritakan hal insan yang 'seangkatanmu' padaku.
Mereka patut bersyukur kerna mereka tidak sepertiku.
Tidak sepertiku yang tidak kau pedulikan.
Tidak sepertiku yang hanya 'diberi makan' untuk menjana 'kerjamu'.

Bukanku mengungkit.
Bukanku tidak ikhlas.
Namunku hanya meluahkan rasa ini yang telah kupendamkan sejak hampir sedekad aku di sini bersamamu.
Dan hanya mempersoalkan persoalan yang kuheret sejak aku menjejakkan kaki disini, 7 tahun yang lalu.

Bukanku meminta.
Bukanku memaksa.
Hanya hati yang terasa, minta dimuntahkan segala perih.

p/s : ini bukan puisi, ini isi hati

Jangan Kecewa, Sayang

Kehampaan menendang hati kecewa
Punah segunung harapan
Setelah seribu usaha ditaburkan

Namun aku tidak kesal
Aku tahu ini takdir Ilahi
Setelah kutawakalkan hati
Selepas kuredakan jiwa

Kuharap kau jua mengerti
Jangan lagi berduka hati
Biarkan, lepaskan segala rasamu
Relakan segalanya
Kerna bagiku kita juga 'menang'

Kita menang persahabatan
Kita menang perkongsian
Kita menang bermaruah!

Jangan kecewa, sayang
Kaulah aduka kami yang sehabis baik cuba mengotakan impian
Kau antara yang terbaik, sayang ..

Isnin, 1 April 2013

Pandangan Itu

Kutebarkan luas pandangan
Panorama sibuk dan riuh kusaksikan
Bagai pemerhati dari menara tinjau
Meninjau segala yang biasa dan yang asing

Tertancap mataku padanya
Gagal kularikan anak mata ini
Degil, ia terus tercandu memandang
Tarikan yang menggelisahkan jiwa
Dia kukenali!

Kuriak lagak mesra
Namun dia berlagak biasa
Tidakkah dia mengingatiku?
Sama sekali tidak

Harapan terhenti lekas
Menebarkan terus mengelak lemas
Pandangan kosong beserta rimas
Dalam kehampaan pen kuramas
Mencoret luahan hati ikhlas ..

Dalam Riuh Itu ..

Riuh rendah di sini
Ada yang berteriak
Ada yang memerhati.

Aku cuma bersimpuh
Sambil tangan menulis bersepuh
Mencoret di ruangan pertama
Bingkisan tiada bernama.

Mengelamun aku seketika
Tanpa sedar memandang tepat
Ke arah sepasang mata kuyu
Terpana, terkesima
Terus aku berpaling
Dengan resah gelisah.

Kucari lembaran baru
Kutarikan jari
Kutaipkan untuk ke sekian
Kupublish buat kalian..