Isnin, 30 Disember 2013

Niskala

Bila kulihat kau duduk di sebelahku
Ku bersyukur adanya kau di sisiku.

Bila kulihat kau tersenyum kepadaku
Ku gembira adanya kau di sampingku.

Lalu kumohon, jangan pergi.

Suami Aku Ustaz

'Suami Aku Ustaz'

Novel itu sungguh 'sampai'
Kisahnya mengesankan
Mungkin kerana aku membayangkan 'dia'lah ustaz Hafiz
Atau aku yang ralit sendiri.

Yang pasti,
Ustaz Hafiz berjaya membuat aku membacanya berulang kali
Novel yang dulunya kupandang rendah di hati
Kisah yang dulunya ku tak hirau sekali.

Tahniah, Hannah Dhaniyah !

Karya Seni kini menjadi idaman
Bermula Love You Mr. Arrogant
Hinggalah bermacam novel diadaptasikan
Menjadi sebuah naskhah hebat
Di layar perak mahu pun layar kaca.
Sungguh, aku peminat baru Karya Seni.

Tahniah, Karya Seni !

Jumaat, 27 Disember 2013

Sometimes, ..

Sometimes, taking someone's hand is the beginning of a journey.

At other times, it is allowing another to take yours..

Khamis, 26 Disember 2013

Pendominasiku

Maaf.

Bukan niatku mahu berpaling
Bukan mahuku menjarakkan diri
Tetapi aku tidak mampu mengawal rasa hati
Perasaan yang sudah lama kubuang
Kini menjengah kembali.

Tak kusalahkan dirimu yang menyepi
Aku tahu bukannya hatiku mampu kau baca
Namun aku tahu bahawa walaupun sikit, kau juga tahu
Betapa kuatnya rasa ini bermaharajalela
Mungkin kerna itu aku sebegini gusar.

Debar saat terpandangmu
Debar saat kau berada di dekatku
Malah, debar bila kau muncul dalam angan mimpiku.
Semuanya mendebarkan raga
Membuatkan kaku seluruh tubuh
Mengkelamkabutkan semua benda.

Ternyata,
Kau mendominasiku.

Senyuman Penuh Harapan

Malam ini ku didatangi sebuah keluarga berbangsa Cina. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki dan salah seorang daripadanya terpaksa berkerusi roda. Mungkin kerana lumpuh atau sebab-sebab lain.

     Aku tertarik pada anak lelakinya itu. Biarpun hanya mampu menggerakkan dari pinggang ke atas sahaja, tetapi dia kelihatan sangat tabah dan kuat. Keterbatasannya seperti tidak langsung mengganggu. Bahkan, dia leka melihat tali pinggang Kamen Rider yang kujual bersama adiknya. Hinggalah ibunya mengajaknya untuk ke tempat lain.

     Sebelum pergi mendapatkan ibunya, sempat dia bertanya padaku,

"Ini kedai mau tutup ke?"
"Ya, dik. Kejap lagi nak tutup."

Senyap.

"Boleh tak jangan tutup?"

Kulihat jam, 9.45 malam. Bermakna aku punya 15 minit sahaja lagi untuk menunggunya.

"Boleh tak jangan tutup?" ulangnya.
"Nanti saya nak datang tengok lagi.."

Tersentuh rasa hati.

"Baiklah. Akak tak tutup, ya?"

Dia senyum, dan aku tahu senyuman itu penuh harapan. Jika aku mampu, kubelikan tali pinggang itu untuknya. Moga Tuhan memudahkan segala kanak-kanak itu.

Seindah Harapan

Terpandang aku pada sekujur tubuh
Meski beza, namun dia seperti kamu.

Bentuk tubuhnya,
Ketinggiannya,
Cara pemakaiannya,
Seiras kamu.

Kulihat sekujur tubuh itu ada temannya
Mungkin itulah panoramanya jikaku bersamamu
Yang mungkin turut disertai oleh cahaya mata kita.
Comel sungguh!

Kuharapkan kita mampu bersama
Mengukir kebahagiaan bersama
Dengan sekecil-kecil perkara hinggalah ke besar-besar perkara.
Dari menemaniku membeli-belah hinggalah menemaniku melahirkan zuriatmu.

Mudah-mudahan ..

Sudut Hati Paling Dalam

Marah mana pun aku
Rajuk mana pun aku
Di sudut hati paling dalam
Aku masih peduli
Aku tetap kasihi.

Walau bagaimana kucuba memalingkan wajah darimu
Ekor mataku tetap mahu melihatmu.
Melihat engkau berdiri sihat
Sudah cukup membahagiakan
Dan cukup untuk menenangkan hatiku.

Meski egoku masih tinggi
Meski rajukku masih berbekas
Kau tetap keutamaan
Dalam setiap siang dan malamku
Kuharap kau pun begitu.

Rabu, 25 Disember 2013

Kembar

Hidup berpasangan ni macam kembar.

Apa kau nak, aku nak.
Apa kau suka, aku suka.
Apa kau makan, aku makan.
Dan apa kau rasa, aku rasa.

Kita kongsi semua dan hadapi semua bersama-sama.
Ya, macam kembar.

Sedarkan!

Masa merangkak perlahan
Menyusuri hari-hari
Mengikut suratan takdir.

Aku mengengsot tertinggal
Oleh masa yang meninggalkan
Tanpa sedar, tanpa kasihan.

Sedarkan aku!
Sedarkan!

Gelagat

Kaku sendiri
Dalam kedinginan hawa menggigit tubuh
Memerhati gelagat manusia
Membeli kehendak duniawi.

Ada kalanya mereka hanya menurut telunjuk iblis
Ada kalanya mereka hanya menjunjung perintah nafsu.

Isnin, 23 Disember 2013

Tolong, Jangan Begitu Lagi

Sayang, lain kali
Jangan buat aku risau begini
Jangan buat aku seriau lagi
Jangan buat aku fikir itu ini
Dan segala perkara buruk yang bakal jadi.

Kau kata kau sedang memandu
Dan nanti kau akan balas mesej aku
Tapi kau lupa nak beritahu
Kredit kau habis beberapa minit yang lalu.

Hati aku tak sedap
Risau aku meluap-luap
Bila panggilanku tiada berjawab.

Sayang, lain kali
Tolong ke tepi berhenti
Bila kau sepatutnya berhenti
Jangan lakukan perkara
Yang mungkin akan mengapa-apakan diri.
Kerna,
Jika apa-apa terjadi padamu
Takkan kumaafkan diriku
Yang mengakibatkan itu berlaku.

Ahad, 22 Disember 2013

Dia

Kumahu dengar suara
Cukup garau dan matangnya.

Kurindui tenang wajah
Bersih dengan nur di mukanya.

Ku tercandu dek senyuman
Manis menyusup ke jiwa seikhlasnya.

Semuanya dia
Segala miliknya.

Patah Tumbuh, Hilang Berganti

"Patah tumbuh, hilang berganti."

Namun, yang patah tak sama dengan yang tumbuh,
Dan yang hilang tak sama dengan yang diganti.

Sabtu, 21 Disember 2013

Kali Pertama

Harapan menggunung
Rasa mendalam
Hati meninggi
Diri tenggelam.

Semua kerananya
Sejak pertama mata terpandang.

Isnin, 16 Disember 2013

Susuran Malam

Menyusur malam

Melayari lautan hitam kelam

Untuk sampai ke destinasi esok

Yang disuluh suria terang benderang.

Ahad, 15 Disember 2013

Dunia

Kita ini hidup di dunia yang soalan orang hanyalah;

"Dah masak ke belum?" daripada bertanyakan,
"Dah makan ke belum?"

"Penyakit ini berjangkit ke?" daripada bertanyakan,
"Kau dah makan ubat?"

Kita juga hidup di dunia yang orang cuma mengatakan;

"Baju kau kotorlah!" daripada bertanyakan,
"Apa yang dah terjadi pada kau?"

"Kau kurang ajarlah!" daripada bertanyakan,
"Apa yang kau pendamkan selama ini?"

"Kau miskin hina!" daripada bertanyakan,
"Apa jenis bantuan yang kau perlukan?"

Jumaat, 13 Disember 2013

Mencari Yang Tersirat Sejak Azali

Kumahukan yang sanggup mempertahan cintanya,
yang tidak mudah berputus asa bila kumenduga,
dan yang setia mendorong usaha serta cita-cita.
Juga yang setulusnya menerimaku dan keluarga,
yang tidak peduli akan asal-usulku apa kaya atau papa.

Bukan yang hanya mahu kupujuk, kurayu sepanjang masa,
yang mahu mengongkong dari pelbagai aspek dan rupa,
atau yang mahu berlagak kuat semata.

Aku wanita jadi aku seharusnya menjadi mahal,
bukan sebegitu murah bersimpuh menjual.

"Perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik.
Begitu juga sebaliknya.
Dan laki-laki yang jahat untuk perempuan yang jahat.
Dan sebaliknya juga."

Kerna itu, ku juga sedang mempersiap diri
Agar aku sedarjat bersama yang bakal di sisi
Waima masih banyak lopak berisi kekurangan diri.

Dia Peduli

Ada kalanya, konflik jiwa begitu menduga
Hinggakan aku lebih rela lena berjam-jam
Daripada memikirkannya.

Ada kalanya, kemelut hidup begitu mencabar
Hinggakan aku lebih suka bersendiri
Daripada merunsingkan kepala.

Tapi, itu tandanya Dia masih peduli, masih sayangi.
Dia mahu aku bergantung padanya bukan hanya melarikan diri.

Ikutkan hati, aku mahu bermusafir sendiri.
Mahu menenangkan jiwa dan minda dengan menjamu mata.
Namun semua itu perlukan asasnya, perlukan pengerasnya.
Aku hanya si papa kedana yang penuh masalah lagi lemah.

Harus kulupakan semua ini dahulu.
Moga Dia masih peduli dan moga Dia membantuku dengan dzatNya yang Maha Agung.