Ahad, 27 Januari 2013

Penguasa Hati

Selama kau disisi, banyak yang telah kau lalui bersamaku. Banyak juga masa yang telah kau luangkan untukku. Oleh hal yang demikian, aku mahu kau tahu, bahawa dirimu sangat berharga untukku. Dirimu itulah peneman diriku dimana jua kuhayunkan langkah kaki ini.
Kau tetap bersama biarpun dalam keadaan apa sekalipun. Kaulah yang akan menenangkan aku pabila aku kesedihan.
Kau jugalah yang akan mengalunkan ayat-ayat suci ke telingaku pabila ku gundah-gulana.
Kau juga menghindarkan diriku daripada mendengar kata-kata kesat yang dilemparkan oleh orang tua tu setiap hari.
Pendek kata, kau bagaikan penyedap & halwa telingaku setiap hari.
Aku sangat menyayangimu & aku juga sangat menghargai jasamu terhadapku. Jadi kumohon, jagalah dirimu sebaik mungkin agar jangka hayatmu akan lebih panjang bersamaku.
Agar aku dapat meneruskan hari-hariku bersamamu seperti norma hari-hari biasaku.
Teruskanlah berkhidmat untukku, wahai EARPHONE ku .. :)

Jumaat, 25 Januari 2013

Kerinduan yang dicantas

Kali ini, aku ingin sekali berkongsikan apa yang sedang kulalui sekarang.
Aku merinduinya. Mengapa? Ya, aku tahu aku akan bersua muka dengannya setiap hari di sekolah. Namun apa yang kurindukan adalah saat-saat indah waktu dahulu. Saat aku sering bertanya khabarnya, saat aku sering bergurau senda dengannya & saat aku menyiapkan hampir separuh daripada tugasannya. Manis! Terasa seperti dialah bapa terbaik dalam hidupku. Walaupun penat seharian membantu menyiapkan tugasannya, aku gembira. Gembira kerana aku dapat meluangkan masa bersamanya, meringankan bebannya & menatap wajahnya.
Mungkin bagi kalian yang masih belum pernah merasai kehilangan ibu bapa terasa hal ini kecil. Tetapi bagi aku, aku sangat menghargai setiap waktu yang aku ada bersama-samanya. Maklumlah, budak yang tiada berbapa seperti aku ni, sangat memerlukan perhatian & kasih sayang daripada yang sudi. Tetapi aku tidak meminta-minta. Aku hanya menagih dalam diam agar aku tidak dipandang serong oleh yang lain-lain. Aku juga punya maruah. Maruah yang perlu kujaga rapi kerana ia menunjukkan harga diriku yang sebenar.
Sering kali aku tersenyum sendiri dek memikirkan perubahan pada dirinya. Dia yang dahulunya kurang mesra kini mahu menjadi lebih akrab & mesra denganku. Memang, memang inilah yang aku inginkan sedari dulu. Perhatian & layanannya yang saling tak tumpah seperti melayan anak-anaknya sendiri. Namun, apalah yang mampu kulakukan. Aku tidak mampu untuk berada dekat dengannya lagi. Aku juga tidak boleh rapat & mesra dengannya seperti dulu lagi. Semua ini hanya kerana sebuah janji. Janji yang termeterai antara aku & isterinya yang tidak langsung mahu memahami keadaan aku & dia.
Sudahlah, kata orang, 'barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang merosak badan..' Jadi eloklah kalau aku terus menjaga batasku dengannya agar perhubungan ini tidak menjadi lebih keruh & tidak pula menambahkan rasa cemburu dihati isterinya yang tidak pernah mengerti isi hati yang kumiliki..

Jumaat, 18 Januari 2013

Dan, 'Bila Waktu Berhenti' ..

"Aku tahu tiada rasa yang sebegitu
Menyenangkan rasa pagiku
Mungkinkah kau juga begitu ..

Waktu lena waktu terjaga tiada beza
Adakah aku terpedaya dengan perasaan membuta ..

Aku tinggalkan semua hanyalah untukmu ..

Semua takkan terjadi
Semua takkan terjadi
Bila waktu berhenti ..

Aku tahu tiada tempatku tuk bertanya
Hanya termenung lama-lama
Menanti dengan angan-angan ..

Mungkin nanti akan terdaya melupakanmu
Memulakan kisah yang baru
Seperti kau tak pernah ada .."

Aku tidak tahu, tapi ini bagaikan masterpiece padaku setakat ini. Melodi dan lirik yang diciptanya tatkala di Istanbul untuk penggambaran filem Istanbul Aku Datang bersama pelakon kesayanganku, Beto Kusyairy dan Lisa Surihani lebih kurang setahun yang lalu merupakan sebuah karya yang amat sedap didengar. Boleh juga dikatakan sebagai halwa telinga yang mendengarnya. Karya ini juga sebati dengan jiwaku. Tiada 'kan jemu setiap kali ku 'on repeated' lagunya. It's so lovely and talented! :)

*credits to Muhd Aizat Amdan

Serba tidak kena

Selepas hari latihan tersebut dijalankan, aku mula merasakan bahawa Dia mahu memulihkan keadaan. Entah Dia tahu atau tidak perkara yang sebenarnya terjadi, aku pun tidak tahu. Namun tingkah lakunya membuatkan aku merasa lega & gembira.
Gembira kerana Dia melayanku dengan baik sekali. Juga gembira kerana Dia tidak mensisihkan aku dari yang lain. Namun disebaliknya, aku merasa serba salah. Perasaan ini timbul apabila layanan yang Dia berikan kepadaku terlalu baik sehinggakan aku terkesima dengan apa yang Dia lakukan. Bahkan Dia seolah-olah mahu menjernihkan keadaan yang sedia keruh ini. Di tambah pula dengan sikapku yang sentiasa dingin dengannya. Aku merasakan diriku bagaikan seorang pelajar atau anak yang biadap! Sedangkan Dia sudah mengetepikan egonya untuk memperbaiki keadaan, tapi aku masih dengan tembok tinggi yang keras, tidak mahu berganjak.
Oleh sebab itulah aku mulai mengurangkan ego dan perasaan 'jauh' ini daripadanya. Tidaklah aku kelihatan seperti tidak mahu memperbetulkan keadaan. Tidak kunafikan, aku sangat bahagia dengan perubahan drastik pada dirinya ini. Barulah aku merasakan yang aku ini wujud di hadapannya dan bukan hanya sekadar pelajar yang mungkin tidak diingati namanya. Alhamdulillah, aku mengharapkan agar Dia akan terus bersikap sebegini sampai bila-bila. Dan aku juga berdoa agar tiada apa yang akan merosakkan kebahagiaan ini kerana aku cuma ingin satu, BAHAGIA.
Dan aku bukan perampas kebahagiaan keluarganya. Aku cuma menumpang setitik kasih sayangnya yang tidak kudapatkan sejak 13 tahun lalu, jika berkesempatan.
Namun nampaknya, takkan kudapatkan ..

Selasa, 15 Januari 2013

Alhamdulillah ..

Aku bersyukur ke hadratNya atas murniaan 'rezeki' ini. Bahkan aku tidak menjangkakannya!
Petang tadi Kelab Hoki sekolah aku mengadakan latihan dalam jam 4 petang. Aku yang masih dalam dilema ini, mestilah merasakan gementar yang amat sangat menghimpit jiwa! Namun kupaksakan kaki ini untuk melangkah ke sekolah. Langkah dihayun dengan pelbagai rasa. Perasaan yang bercampur-baur membuatkan aku tidak tenang sepanjang perjalanan. Hanya mp3 yang disumbat ke telinga untuk menghiburkan hati ini.
Sesampai aku di padang sekolah, kelihatan Dia di tengah padang hoki bersama beberapa pelajar lain. Aku mula tidak tenang. Sengaja kutundukkan kepala agar tidak membuat 'eye-contact' dengannya. Namun, apa yang mengejutkan ialah, dia memanggil namaku! "Izah, cepat lari 2 round padang. Lepas tu, warm up.." Aku terkedu!
Kusangkakan dia akan hanya membatukan diri namun sangkaanku meleset! Aku tersenyum sendiri. Bagaikan tidak percaya dia menyebut namaku padahal lazimnya dia sering memanggil kaptennya daripada aku yang tidak punya jawatan tinghi dalam kelab itu. Tidak cukup dengan itu, dia terus memanggil namaku apabila mahu mengumpulkan kumpulan dalam latihan! Ha? Macamlah aku kapten pasukan. Biasanya tanggungjawab itu diberikannya kepada kapten. Tapi hari ini sebaliknya.
Waktu akhir sebelum pulang pula, dia sekali lagi memanggil namaku untuk menanyakan hal kunci stor. Padahal kunci itu telah diserahkannya kepada penolong pengerusi. Aku pula bagai tersipu-sipu dek diejek oleh rakan- rakan yang mengetahui apa yang terjadi antara aku & dia.
Akhirnya, dia mengucapkan terima kasih sebab hadir ke latihan yang dilakukannya hari ini.
Haaa, hatiku lega. Selega ikan-ikan yang terlepas dari mata kail si nelayan. Alhamdulillah. Aku juga mengharapkan agar 'hubungan' baik ini bukan sampai disini, tetapi terus kekal hingga ke akhirnya.. Syukur!

Jumaat, 11 Januari 2013

Rindu Pula Bertandang..

Selama ini, mungkin aku tidak menyedari hakikat sebenar. Hakikat yang aku sebenarnya merindukannya. Aku rindukan layanan mesranya terhadap diriku & rakan-rakan. Aku rindukan perhatian yang diberikannya kepadaku yang saling tak tumpah bagaikan perhatian seorang bapa kepada anak perempuannya. Aku juga merindukan senyuman yang sentiasa dilemparkannya kepada kami dahulu. Mungkin kerana aku asyik ingin menjauhkan diri darinya, rasa rindu yang ada bagaikan terlindung dek rasa gementar yang makin mendesak.
Kini, aku bagaikan kehilangan segalanya. Kebahagiaan & kegembiraan bersama 'pengganti' bapaku bagaikan dirampas oleh sikap membuta tuli sesetengah pihak. Sikap yang memutuskan silaturahim yang terbina antara aku & dia.
Ku akui, aku mungkin terlalu prihatin akan dirinya & keluarganya yang tercinta. Namun tidak pernah terlintas dihati ini untuk menaruh harapan cinta kepadanya. Tidak pernah terlintas juga aku ingin merampas kebahagiaannya bersama isteri & 3 orang anaknya. Bahkan, aku lebih bahagia jika dia & keluarganya sentiasa bahagia & ceria bersama.
Mungkin aku tidak patut menumpang kasih darinya. Aku sepatutnya lebih sedar akan diriku yang tiada berbapa sedari kecil. Aku juga patut memuhasabah diriku sebelum keadaan menjadi lebih buruk lagi dari ini. Mungkin aku lupa, aku juga masih punya keluargaku sendiri. Aku masih punya ibuku yang selalu bersengkang mata mencari rezeki untukku. Ya Allah, sedarkan aku akan nikmat yang telah kau berikan. Cukupkanlah aku dengan nikmat yang telah kau berikan padaku, Ya Rabb..

Sampai Bila ?

Sudah seminggu persekolahan memulakan sesi bagi tahun 2013. Sudah seminggu juga aku bagaikan pelarian di sekolah sendiri. Rasa takut & gementar pasti akan menerpa setiap kali aku terlihat kelibatnya.
Entahlah, entah sampai bilalah aku akan terus begini. Takut akan diri sendiri. Bukannya tidak kucuba, namun terlalu payah untuk kubuang perasaan yang tidak pernah kujemput hadir ini. Tidak kutahu indikasinya untuk kuhapuskan rasa ini. Maklumlah, kami berada di bawah satu bumbung setiap hari. Sudah pasti kami tetap akan bersua muka. Keadaan seperti ini tidak dapat kuelakkan. Bahkan, aku semakin khuatir jika dia sudah sedia maklum dengan apa yang kutahu! Ya Tuhan, lindungilah diri ini & berilah diriku kekuatan serta solusi untuk mengatasinya..

Sabtu, 5 Januari 2013

Ketakutan Yang Menipu

Sekolah sudah pun membuka tirainya bagi sesi 2013 pada tahun ini. Sudah semestinya aku lebih bersungguh-sungguh pada tahun ini kerana aku merupakan antara calon yang bakal menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Perasaan gementar dan risau juga mulai merekrut jiwa ini. Terasa bagaikan beban yang terpikul di bahu kiri dan kanan. Namun kugagahi juga demi masa depan dan harapan ibu serta keluargaku.
Namun, perihal yang berlaku semasa aku bekerja tempoh hari memang masih menyengat akal dan fikiran. Hal ini kerana aku masih belum mampu melupakan apa yang terjadi antara aku dan sebuah keluarga yang menetap di Taman Bukit Piatu Mutiara itu. Ceritanya biarlah aku simpan sendiri. Cuma aku ingin berkongsi rasa dengan kalian yang sudi membaca coretan yang sering kuseretkan pada kekunci telefon bimbitku ini.
Sebenarnya, memang sedari mula lagi aku sudah merasakan ketakutan untuk masuk semula ke sekolah. Bukan apa, aku cuma tidak mahu dilihat, melihat atau terlihat akannya semasa di sekolah nanti. Maklumlah, apabila berada di bawah satu bumbung, pasti akan berjumpa, bukan? Namun hal inilah yang paling aku elakkan. Aku tahu, tingkah laku ku ini seperti menggambarkan yang aku takut dengan diriku sendiri. Tapi pada hakikatnya, memang aku takut. Aku takut untuk melalui hari di sekolah dan aku bagaikan pelarian di sekolah ku yang aman damai ini. Bunyinya macam kelakar, tetapi itulah yang kurasakan setiap hari.
Ini tidak termasuk apabila aku berjalan berdekatan dengan bilik guru, pasti aku akan merasakan getaran yang menggetarkan seluruh tubuhku! Puas kucuba menenangkan hati, namun aku tetap sukar untuk melaluinya. Mungkin dia juga perasan, aku tidak lagi seperti dulu. Aku tidak lagi menegurnya semesra dulu. Aku tidak lagi melawatnya di bilik guru seperti dulu dan aku juga tidak lagi sentiasa muncul di hadapannya seperti dulu.
Payah, namun harus kurelakan kerana ini permintaan mereka. Permintaan mereka yang telah salah faham dengan keadaan yang menyiksa. Tiada apalah, aku pasrah dan aku bertekad untuk mengatasi rasa takut ini agar aku lebih bebas dalam hidupku..