Jumaat, 11 Januari 2013

Rindu Pula Bertandang..

Selama ini, mungkin aku tidak menyedari hakikat sebenar. Hakikat yang aku sebenarnya merindukannya. Aku rindukan layanan mesranya terhadap diriku & rakan-rakan. Aku rindukan perhatian yang diberikannya kepadaku yang saling tak tumpah bagaikan perhatian seorang bapa kepada anak perempuannya. Aku juga merindukan senyuman yang sentiasa dilemparkannya kepada kami dahulu. Mungkin kerana aku asyik ingin menjauhkan diri darinya, rasa rindu yang ada bagaikan terlindung dek rasa gementar yang makin mendesak.
Kini, aku bagaikan kehilangan segalanya. Kebahagiaan & kegembiraan bersama 'pengganti' bapaku bagaikan dirampas oleh sikap membuta tuli sesetengah pihak. Sikap yang memutuskan silaturahim yang terbina antara aku & dia.
Ku akui, aku mungkin terlalu prihatin akan dirinya & keluarganya yang tercinta. Namun tidak pernah terlintas dihati ini untuk menaruh harapan cinta kepadanya. Tidak pernah terlintas juga aku ingin merampas kebahagiaannya bersama isteri & 3 orang anaknya. Bahkan, aku lebih bahagia jika dia & keluarganya sentiasa bahagia & ceria bersama.
Mungkin aku tidak patut menumpang kasih darinya. Aku sepatutnya lebih sedar akan diriku yang tiada berbapa sedari kecil. Aku juga patut memuhasabah diriku sebelum keadaan menjadi lebih buruk lagi dari ini. Mungkin aku lupa, aku juga masih punya keluargaku sendiri. Aku masih punya ibuku yang selalu bersengkang mata mencari rezeki untukku. Ya Allah, sedarkan aku akan nikmat yang telah kau berikan. Cukupkanlah aku dengan nikmat yang telah kau berikan padaku, Ya Rabb..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan