Sabtu, 5 Januari 2013

Ketakutan Yang Menipu

Sekolah sudah pun membuka tirainya bagi sesi 2013 pada tahun ini. Sudah semestinya aku lebih bersungguh-sungguh pada tahun ini kerana aku merupakan antara calon yang bakal menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Perasaan gementar dan risau juga mulai merekrut jiwa ini. Terasa bagaikan beban yang terpikul di bahu kiri dan kanan. Namun kugagahi juga demi masa depan dan harapan ibu serta keluargaku.
Namun, perihal yang berlaku semasa aku bekerja tempoh hari memang masih menyengat akal dan fikiran. Hal ini kerana aku masih belum mampu melupakan apa yang terjadi antara aku dan sebuah keluarga yang menetap di Taman Bukit Piatu Mutiara itu. Ceritanya biarlah aku simpan sendiri. Cuma aku ingin berkongsi rasa dengan kalian yang sudi membaca coretan yang sering kuseretkan pada kekunci telefon bimbitku ini.
Sebenarnya, memang sedari mula lagi aku sudah merasakan ketakutan untuk masuk semula ke sekolah. Bukan apa, aku cuma tidak mahu dilihat, melihat atau terlihat akannya semasa di sekolah nanti. Maklumlah, apabila berada di bawah satu bumbung, pasti akan berjumpa, bukan? Namun hal inilah yang paling aku elakkan. Aku tahu, tingkah laku ku ini seperti menggambarkan yang aku takut dengan diriku sendiri. Tapi pada hakikatnya, memang aku takut. Aku takut untuk melalui hari di sekolah dan aku bagaikan pelarian di sekolah ku yang aman damai ini. Bunyinya macam kelakar, tetapi itulah yang kurasakan setiap hari.
Ini tidak termasuk apabila aku berjalan berdekatan dengan bilik guru, pasti aku akan merasakan getaran yang menggetarkan seluruh tubuhku! Puas kucuba menenangkan hati, namun aku tetap sukar untuk melaluinya. Mungkin dia juga perasan, aku tidak lagi seperti dulu. Aku tidak lagi menegurnya semesra dulu. Aku tidak lagi melawatnya di bilik guru seperti dulu dan aku juga tidak lagi sentiasa muncul di hadapannya seperti dulu.
Payah, namun harus kurelakan kerana ini permintaan mereka. Permintaan mereka yang telah salah faham dengan keadaan yang menyiksa. Tiada apalah, aku pasrah dan aku bertekad untuk mengatasi rasa takut ini agar aku lebih bebas dalam hidupku..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan