Khamis, 12 Mac 2015

Anak Muda

Seorang anak remaja belasan tahun yang baru sahaja pulang daripada sekolah, dalam keadaan letih dan lapar. Pulang ke rumah dengan harapan ada makanan untuk disuap ke mulut, melenyapkan sedikit rasa lapar, namun kecewa. Kecewa apabila melihat tudung saji yang menutupi meja kosong. Kecewa apabila peti sejuk hanya menyimpan beberapa botol kicap, sos dan air mineral. 

Apakah perasaan anak muda tersebut ? Harapan pada awalnya agar dapat melenyapkan rasa lapar dan melupakan seketika stres yang dihadapi. Namun apabila di rumah, ia semakin menghimpit. Ditambah pula dengan masalah di tempat kerja sambilan di sebelah malam, malah, masalah bersama rakan-rakan dan juga masalah kewangan. Hal-hal ini terlalu besar untuk anak semuda itu. 

Dia tidak seperti anak-anak yang sebaya dengannya yang hidupnya masih ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa mereka. Dia jarang meminta wang untuk perbelanjaan harian. Dia jarang menceritakan apa-apa masalahnya kepada keluarga. Kadang-kadang dia merasakan bahawa dia hanya menumpang tidur di rumah itu. Pagi ke sekolah, petang ke tempat kerja dan hanya pulang ke rumah untuk tidur di malam hari. Hidupnya tidaklah sesibuk mana namun dia jarang berada di rumah. Keluarganya juga seakan tidak kisah dengan hal itu. Dia hanya berada di rumah tatkala cuti sekolah dan apabila dia cuti kerja. Itupun ada kalanya dia tidak meluangkan masa di rumah, lebih suka berada di luar bersama rakan-rakan yang rapat dengannya. 

Aku tidak pernah terbayangkan kehidupan seperti itu. Sejak kecil aku mengimpikan kehidupan yang senang dan bahagia. Ada orang hantar ke sekolah setiap hari, duit poket yang sentiasa mencukupi, tidak perlu risau akan hal kewangan, dapat makan makanan yang sedap-sedap dan mahal, dapat memakai pakaian yang cantik-cantik, bergelak ketawa dengan rakan-rakan dan dapat berbual mesra dengan setiap ahli keluarga tanpa kekok. 

Tetapi, seperti anak muda tadi, hidupnya lebih banyak menghabiskan masa di luar. Jika dia berada di rumah pun, masanya dihabiskan dengan berkurung di dalam bilik sambil melayari internet. Hubungannya dengan rakan-rakan terasa lebih akrab berbanding hubungannya dengan keluarga. Ada kalanya dia berasa seperti dirinya tidak diperlukan didalam keluarga. Mengapa sampai begitu ?

Ya, mungkin pada waktu ini dia masih tidak punya apa-apa. Mungkin pada waktu ini dia belum mempunyai pangkat apa-apa. Tunggulah sahaja apabila tiba waktunya dia mempunyai gelaran tertentu, sudah berjaya dalam kerjaya dan mempunyai pendapatan beribu-riban, nescaya semua akan melutut kepadanya. Pasti semua akan terhegeh-hegeh mencarinya demi kesenangan yang mereka fikir akan dikongsi olehnya. 

Isnin, 9 Mac 2015

Tak perlu, sayang. Tak perlu.

Tak perlu perlahankan kereta jika kau tak terniat untuk memberhentikannya untuk aku.
Aku dah penat memanggil.

Tak perlu berpura-pura sibuk jika kau katakan itu hanya untuk menyedapkan hati aku.
Aku tahu apa yang kau sibukkan.

Tak perlu berlari-lari anak semata-mata untuk menghindari aku.
Aku dah penat mengejar.

Tak perlu ke mari berjumpa aku hanya untuk menjaga perasaan aku.
Aku tahu kau jemu.

Tak perlu tersenyum manis penuh kepura-puraan bila terserempak dengan aku.
Aku takut jiwa aku makin meronta.

Tak perlu hadiahkan apa-apa untuk aku jika itu hanya sebagai umpan darimu.
Aku tak pernah mengharapkan apapun.

Tak perlu baca setiap status laman sosial aku untuk mengetahui aktiviti harian aku.
Aku tak mahu kau tahu betapa aku rindu.

Tak perlu semua perbuatan yang kau lakukan hanya untuk mengaburi mata aku. 
Aku boleh baca apa yang kau mahu.

Terima kasih juga untuk semua.
Aku hargai setiap jasa dan masa.