Selasa, 16 Julai 2013

Aku Juga Tersentuh

Terlihat gambarnya bersama anak-anak yatim di rumah kebajikan, aku tersenyum. Aku tersentuh. Terasa hati sayu melihat anak-anak itu di sisinya. Bermain manja bersamanya, minta didukungnya & mengajaknya bermain bersama.

Dua perasaan dapat kurasakan. Pertama, rasa sayu melihat nasib anak-anak yatim dirumah kebajikan itu. Mereka telah kehilangan ibu bapa mereka sejak kecil lagi. Sedangkan mereka masih mentah, masih hingusan, tak tahu apa-apa. Apa yang mereka tahu, hanyalah bermain bersama rakan-rakan senasib. Bila perut terasa lapar, menangis meminta makan. Bila dah penat main, perut pun dah kenyang, merengek manja nak tidur.

Terfikir suatu masa nanti, saat mereka melihat kanak-kanak lain bermanja bersama ibu bapa mereka, pasti mereka akan menanya diri mereka, "Mana ayah dan ibu aku? Kenapa aku tak macam mereka ? Kenapa ayah dan ibu tinggalkan aku di rumah kebajikan ini ?" Pelbagai persoalan yang menyentap hati pasti tersembul di fikiran mereka. Pada saat itu, mulalah mereka merasa yang diri mereka ini tidak disayangi, tidak dihargai & hanya membebankan atau menyusahkan ibu bapa mereka sahaja. Anak-anak ini pasti akan membesar tanpa kasih sayang yang cukup. Mengharapkan didikan kakitangan dan sukarelawan di rumah kebajikan itu, apalah sangat. Bukan menidakkan kepakaran mereka dalam menjaga anak-anak ini, tapi berapa sangatlah kasih sayang yang dapat mereka berikan kepada anak-anak ini. Bayangkan dalam sebuah rumah, ada 100 - 150 orang anak yatim. Sedangkan kakitangan dan sukarelawan hanya 10 - 15 orang sahaja. Mana mungkin dapat memenuhi keperluan setiap penghuni rumah kebajikan itu. Pasti anak-anak ini membesar dengan serba kekurangan.

Kedua, aku tersentuh melihat dia mendukung tiga orang anak kecil lalu dibawa berjalan bersamanya ! Larat dia mengendong seorang di lengan kiri, seorang lagi di lengan kanan manakala seorang lagi berpaut dari belakang badan. Meskipun penat, dia tidak jemu melayan kerenah anak-anak yatim itu yang berebut-rebut mahu didukungnya. Mana tidaknya, bila dia mendukung seorang, yang seorang lagi merajuk. Dukung seorang ni, yang seorang lagi merajuk. Macam-macam hal. Tapi ini semua sebenarnya dek kekurangan kasih sayang yang mereka dapatkan. Itu sebabnya mereka sangat teruja apabila ada yang datang melawat.

Dia yang juga belum dikurniakan cahaya mata sangat ceria melayan kerenah anak-anak yatim itu. Dia sukakan kanak-kanak. Aku tahu itu. Jiwanya jiwa penyayang. Terlalu lembut hatinya apabila berhadapan dengan kanak-kanak apatah lagi anak-anak yatim. Hatinya mudah tersentuh. Lalu dia dukung semua anak-anak yang ada di situ agar tidak seorang pun berkecil hati dan merajuk. Maklumlah, budak-budak yang sedang membesar hatinya lembut. Mudah terasa dan mudah tersinggung. Mereka sangat sensitif dengan persekitaran mereka.

Terserlah sikap kebapaan yang dimilikinya. Kadangkala, dia pula kelihatan seperti keanak-anakan semasa melayan anak-anak itu. Leka sungguh dia melayan anak-anak itu. Aku tahu, suami mana yang tidak mahukan cahaya mata. Pasti dia berasa tersentuh dengan adanya anak-anak yatim itu. InsyaAllah, aku selalu doakan agar suatu hari nanti dia pasti bakal menimang cahaya mata juga. Rezeki Allah, hanyaDia yang tahu. Mungkin Tuhan hanya mahu menduga dahulu. Bersabarlah, ye ?

Terima kasih juga aku ucapkan kepadanya kerana telah membuat anak-anak di rumah kebajikan itu bahagia dengan kehadirannya walaupun sekejap. Alhamdulillah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas keikhlasannya.

Ahad, 14 Julai 2013

Tersentap Rasa Jiwa

Tersentap rasa jiwaku petang ini bila membaca tweet rakan di Twitter.

"Appreciate your idol while they're still here.."

Tergamam. Bagaikan nadi berhenti berdenyut. Kenapa aku tiba-tiba teringatkan dia ? Kenapa hati ini terus meluru ke arahnya ?

Ya Allah, selama ini aku tidak pernah beranggapan yang dia akan pergi. Tidak pernah. Aku tahu tiada apa yang akan kekal di alam yang fana ini. Namun aku tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti aku bakal kehilangannya.

Bagaimana hendak kulaluinya nanti ?
Bagaimana mahuku cari pengganti ?
Bagaimana jika itu benar-benar terjadi ?
Bagaimana ?

Astaghfirullah. Aku tidak merasakan yang aku dapat melaluinya. Memikirkannya saja sudah cukup membuat aku takut. Seriau ! Merenungkan hari-hari mendatang tanpa status Facebooknya, tanpa tweet baru di akaun Twitter nya dan tiada lagi gambar-gambar ceria yang dimuat naik olehnya di akaun Instagram. Apa lagi yang mampu aku lakukan ? Hanya terus menonton karya lakonannya yang mungkin ada di Youtube mahupun blog-blog hiburan ? Hanya mampu menatap gambar wajah senyumnya di paparan hadapan telefon bimbitku ? Atau hanya mampu melihat kembali lebih 1000 gambar-gambarnya di dalam pendrive kesayanganku itu ?

Buntu. Memikirkannya saja sudah cukup membuat aku rindu. Tak tertanggung rasanya nanti.

Ya Allah, sesungguhnya Kaulah Tuhan yang Maha Mengetahui segala-galanya. Aku bermohon padaMu, Kau berikanlah dia kesihatan yang baik. Kau berikanlah dia kehidupan yang baik. Jauhkanlah dia dari segala marabahaya. Jauhkanlah dia dari segala musibah. Peliharalah dia sebaik-baiknya sebagaimana ibu bapaku memeliharaku sewaktu aku kecil. Sesungguhnya Kaulah satu-satunya Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengasihani.

Aku doakan juga semoga rakanku yang kehilangan orang yang sangat disayanginya itu kekal tabah dan kuat menghadapi musibah ini. Amin.

Sabtu, 13 Julai 2013

Aku Tenggelam dek Arman

Nampaknya aku bakal membuat satu pengakuan lagi malam ini. Pengakuan biasalah pada yang mengenali aku.

Serius, aku dah lama tak 'terkesan' dengan mana-mana karya. Lama hinggakan aku tak mampu nak ingat karya mana yang mampu membuat aku terkesan sebegini rupa. Dan aku akui, aku mendahagakan karya sebegitu.

Scene pertama, aku sudah tergamam. Melihat keadaanya yang kelihatan kusut, seperti orang yang tidak waras. Ditambah dengan pakaian, wajah, tingkah lakunya, dia gila ? Takkan !

Tapi itulah permulaannya. Lalu aku dibawa menyelami kisah hidupnya lebih lagi. Lebih dalam hinggakan aku begitu teruja untuk mengetahui.apa yang akan terjadi selepas itu. Segala kerja kerasnya, suka dukanya, kisah keluarga dan percintaan sementaranya, semuanya diperlihatkan. Hinggalah ke satu tahap, apabila dia dalam keadaan yang sangat terdesak. Dia memilih jalan hitam itu walau dia tahu apa yang menantinya.

Scene dimana dia meminta pertolongan dari perempuan yang menyukainya, itu aku tabik. Scene itu tidak sampai 10 minit. Namun dia berjaya merebahkan jiwaku ke dalam mainan jiwanya. Kulihat betapa dia terlalu mengharapkan agar duit itu sampai ke tangan adiknya untuk pembedahan ibunya di kampung. Betapa dia memohon pertolongan perempuan itu hinggakan dia menangis ! Ya Allah, scene ini memang berjaya meruntun hatiku dan aku yakin ramai lagi yang teruntun dengan scene ini. Boleh kukatakan scene ini adalah scene yang paling mahal dalam karya Murali Abdullah ini.

Satu lagi scene yang aku gelarkan scene paling mahal ialah scene dimana dia memarahi perempuan itu kerana tidak memasukkan duit itu ke dalam akaun adiknya. Perempuan itu risaukan keselamatan dan nyawanya. Itu sebabnya. Jika aku, aku pasti akan termangu. Nyawa siapa yang harus aku selamatkan ? Nyawa dia atau ibunya ? Namun perempuan ini memilih nyawa lelaki itu. Scene dia memarahi perempuan itu tampak sangat jiwa. Realisme ! Tidak pernah aku lihat lagi dia memarahi orang sebegitu. Daripada saya-awak terus bertukar kepada aku-engkau. Dan perempuan itu hanya mampu menangis.

Aku simpulkan, karya ini sangat bertuah. Bertuah kerana disokong dengan jalan cerita yang baik, skrip yang baik disamping sub-teks daripada para pelakon yang sangat menjiwai watak mereka. Siapa saja yang tidak kenal pelakon berkarakter, Beto Kusyairy ? Beliau jarang sekali gagal dalam menginterpretasikan watak yang dipegangnya. Siapa pula tak kenal Sofi Jikan & Azhan Rani ? Dua pelakon ini kalau membawa watak antagonis, jangan haraplah boleh bertenang. Hati memang akan rasa seperti mahu ditumbuk saja tv tu. Dibantu oleh pelakon meningkat naik, Uqasha Senrose dan penampilan istimewa Kaza memang memantapkan lagi karya ini.

Nama Arman memang sinonim dengan Beto Kusyairy dek penangan drama bersiri Hanya Padamu tempoh hari. Namun kali ini, beliau berjaya mengeluarkan kepompong 'Arman' dari watak dalam Hanya Padamu membawa masuk ke dalam drama Arman ini sendiri. Pendek kata, beliau tidak terikat dengan watak Arman yang dulu. Malah kali ini lebih mantap. Sekalung tahniah buat beliau, pelakon kegemaran saya, Beto Kusyairy.

Aku dah kata, aku tak salah minat Beto Kusyairy. Aku meminati dan menyokong orang yang tepat. Misi hanya untuk memberi didikan, bukan untuk mengejar populariti atau nama. Dan beliau sangat serius dengan kerja beliau. Dah banyak dah dengar orang cakap beliau ni sangat dedikasi, berdisiplin, kerja on-time dan beliau juga bersih kontroversi. Memang bakat dan nama yang secara tak sengaja ditempa oleh beliau ini seiring. Alhamdulillah, aku bersyukur bagi pihaknya.

Seperti biasa, aku mengharapkan lebih lagi karya dari beliau selepas ini. Moga doa yang baik-baik dariku terus mengiringi perjalananmu, amin.