Sabtu, 13 Julai 2013

Aku Tenggelam dek Arman

Nampaknya aku bakal membuat satu pengakuan lagi malam ini. Pengakuan biasalah pada yang mengenali aku.

Serius, aku dah lama tak 'terkesan' dengan mana-mana karya. Lama hinggakan aku tak mampu nak ingat karya mana yang mampu membuat aku terkesan sebegini rupa. Dan aku akui, aku mendahagakan karya sebegitu.

Scene pertama, aku sudah tergamam. Melihat keadaanya yang kelihatan kusut, seperti orang yang tidak waras. Ditambah dengan pakaian, wajah, tingkah lakunya, dia gila ? Takkan !

Tapi itulah permulaannya. Lalu aku dibawa menyelami kisah hidupnya lebih lagi. Lebih dalam hinggakan aku begitu teruja untuk mengetahui.apa yang akan terjadi selepas itu. Segala kerja kerasnya, suka dukanya, kisah keluarga dan percintaan sementaranya, semuanya diperlihatkan. Hinggalah ke satu tahap, apabila dia dalam keadaan yang sangat terdesak. Dia memilih jalan hitam itu walau dia tahu apa yang menantinya.

Scene dimana dia meminta pertolongan dari perempuan yang menyukainya, itu aku tabik. Scene itu tidak sampai 10 minit. Namun dia berjaya merebahkan jiwaku ke dalam mainan jiwanya. Kulihat betapa dia terlalu mengharapkan agar duit itu sampai ke tangan adiknya untuk pembedahan ibunya di kampung. Betapa dia memohon pertolongan perempuan itu hinggakan dia menangis ! Ya Allah, scene ini memang berjaya meruntun hatiku dan aku yakin ramai lagi yang teruntun dengan scene ini. Boleh kukatakan scene ini adalah scene yang paling mahal dalam karya Murali Abdullah ini.

Satu lagi scene yang aku gelarkan scene paling mahal ialah scene dimana dia memarahi perempuan itu kerana tidak memasukkan duit itu ke dalam akaun adiknya. Perempuan itu risaukan keselamatan dan nyawanya. Itu sebabnya. Jika aku, aku pasti akan termangu. Nyawa siapa yang harus aku selamatkan ? Nyawa dia atau ibunya ? Namun perempuan ini memilih nyawa lelaki itu. Scene dia memarahi perempuan itu tampak sangat jiwa. Realisme ! Tidak pernah aku lihat lagi dia memarahi orang sebegitu. Daripada saya-awak terus bertukar kepada aku-engkau. Dan perempuan itu hanya mampu menangis.

Aku simpulkan, karya ini sangat bertuah. Bertuah kerana disokong dengan jalan cerita yang baik, skrip yang baik disamping sub-teks daripada para pelakon yang sangat menjiwai watak mereka. Siapa saja yang tidak kenal pelakon berkarakter, Beto Kusyairy ? Beliau jarang sekali gagal dalam menginterpretasikan watak yang dipegangnya. Siapa pula tak kenal Sofi Jikan & Azhan Rani ? Dua pelakon ini kalau membawa watak antagonis, jangan haraplah boleh bertenang. Hati memang akan rasa seperti mahu ditumbuk saja tv tu. Dibantu oleh pelakon meningkat naik, Uqasha Senrose dan penampilan istimewa Kaza memang memantapkan lagi karya ini.

Nama Arman memang sinonim dengan Beto Kusyairy dek penangan drama bersiri Hanya Padamu tempoh hari. Namun kali ini, beliau berjaya mengeluarkan kepompong 'Arman' dari watak dalam Hanya Padamu membawa masuk ke dalam drama Arman ini sendiri. Pendek kata, beliau tidak terikat dengan watak Arman yang dulu. Malah kali ini lebih mantap. Sekalung tahniah buat beliau, pelakon kegemaran saya, Beto Kusyairy.

Aku dah kata, aku tak salah minat Beto Kusyairy. Aku meminati dan menyokong orang yang tepat. Misi hanya untuk memberi didikan, bukan untuk mengejar populariti atau nama. Dan beliau sangat serius dengan kerja beliau. Dah banyak dah dengar orang cakap beliau ni sangat dedikasi, berdisiplin, kerja on-time dan beliau juga bersih kontroversi. Memang bakat dan nama yang secara tak sengaja ditempa oleh beliau ini seiring. Alhamdulillah, aku bersyukur bagi pihaknya.

Seperti biasa, aku mengharapkan lebih lagi karya dari beliau selepas ini. Moga doa yang baik-baik dariku terus mengiringi perjalananmu, amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan