Selasa, 16 Julai 2013

Aku Juga Tersentuh

Terlihat gambarnya bersama anak-anak yatim di rumah kebajikan, aku tersenyum. Aku tersentuh. Terasa hati sayu melihat anak-anak itu di sisinya. Bermain manja bersamanya, minta didukungnya & mengajaknya bermain bersama.

Dua perasaan dapat kurasakan. Pertama, rasa sayu melihat nasib anak-anak yatim dirumah kebajikan itu. Mereka telah kehilangan ibu bapa mereka sejak kecil lagi. Sedangkan mereka masih mentah, masih hingusan, tak tahu apa-apa. Apa yang mereka tahu, hanyalah bermain bersama rakan-rakan senasib. Bila perut terasa lapar, menangis meminta makan. Bila dah penat main, perut pun dah kenyang, merengek manja nak tidur.

Terfikir suatu masa nanti, saat mereka melihat kanak-kanak lain bermanja bersama ibu bapa mereka, pasti mereka akan menanya diri mereka, "Mana ayah dan ibu aku? Kenapa aku tak macam mereka ? Kenapa ayah dan ibu tinggalkan aku di rumah kebajikan ini ?" Pelbagai persoalan yang menyentap hati pasti tersembul di fikiran mereka. Pada saat itu, mulalah mereka merasa yang diri mereka ini tidak disayangi, tidak dihargai & hanya membebankan atau menyusahkan ibu bapa mereka sahaja. Anak-anak ini pasti akan membesar tanpa kasih sayang yang cukup. Mengharapkan didikan kakitangan dan sukarelawan di rumah kebajikan itu, apalah sangat. Bukan menidakkan kepakaran mereka dalam menjaga anak-anak ini, tapi berapa sangatlah kasih sayang yang dapat mereka berikan kepada anak-anak ini. Bayangkan dalam sebuah rumah, ada 100 - 150 orang anak yatim. Sedangkan kakitangan dan sukarelawan hanya 10 - 15 orang sahaja. Mana mungkin dapat memenuhi keperluan setiap penghuni rumah kebajikan itu. Pasti anak-anak ini membesar dengan serba kekurangan.

Kedua, aku tersentuh melihat dia mendukung tiga orang anak kecil lalu dibawa berjalan bersamanya ! Larat dia mengendong seorang di lengan kiri, seorang lagi di lengan kanan manakala seorang lagi berpaut dari belakang badan. Meskipun penat, dia tidak jemu melayan kerenah anak-anak yatim itu yang berebut-rebut mahu didukungnya. Mana tidaknya, bila dia mendukung seorang, yang seorang lagi merajuk. Dukung seorang ni, yang seorang lagi merajuk. Macam-macam hal. Tapi ini semua sebenarnya dek kekurangan kasih sayang yang mereka dapatkan. Itu sebabnya mereka sangat teruja apabila ada yang datang melawat.

Dia yang juga belum dikurniakan cahaya mata sangat ceria melayan kerenah anak-anak yatim itu. Dia sukakan kanak-kanak. Aku tahu itu. Jiwanya jiwa penyayang. Terlalu lembut hatinya apabila berhadapan dengan kanak-kanak apatah lagi anak-anak yatim. Hatinya mudah tersentuh. Lalu dia dukung semua anak-anak yang ada di situ agar tidak seorang pun berkecil hati dan merajuk. Maklumlah, budak-budak yang sedang membesar hatinya lembut. Mudah terasa dan mudah tersinggung. Mereka sangat sensitif dengan persekitaran mereka.

Terserlah sikap kebapaan yang dimilikinya. Kadangkala, dia pula kelihatan seperti keanak-anakan semasa melayan anak-anak itu. Leka sungguh dia melayan anak-anak itu. Aku tahu, suami mana yang tidak mahukan cahaya mata. Pasti dia berasa tersentuh dengan adanya anak-anak yatim itu. InsyaAllah, aku selalu doakan agar suatu hari nanti dia pasti bakal menimang cahaya mata juga. Rezeki Allah, hanyaDia yang tahu. Mungkin Tuhan hanya mahu menduga dahulu. Bersabarlah, ye ?

Terima kasih juga aku ucapkan kepadanya kerana telah membuat anak-anak di rumah kebajikan itu bahagia dengan kehadirannya walaupun sekejap. Alhamdulillah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas keikhlasannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan