Khamis, 26 Disember 2013

Senyuman Penuh Harapan

Malam ini ku didatangi sebuah keluarga berbangsa Cina. Mereka mempunyai dua orang anak lelaki dan salah seorang daripadanya terpaksa berkerusi roda. Mungkin kerana lumpuh atau sebab-sebab lain.

     Aku tertarik pada anak lelakinya itu. Biarpun hanya mampu menggerakkan dari pinggang ke atas sahaja, tetapi dia kelihatan sangat tabah dan kuat. Keterbatasannya seperti tidak langsung mengganggu. Bahkan, dia leka melihat tali pinggang Kamen Rider yang kujual bersama adiknya. Hinggalah ibunya mengajaknya untuk ke tempat lain.

     Sebelum pergi mendapatkan ibunya, sempat dia bertanya padaku,

"Ini kedai mau tutup ke?"
"Ya, dik. Kejap lagi nak tutup."

Senyap.

"Boleh tak jangan tutup?"

Kulihat jam, 9.45 malam. Bermakna aku punya 15 minit sahaja lagi untuk menunggunya.

"Boleh tak jangan tutup?" ulangnya.
"Nanti saya nak datang tengok lagi.."

Tersentuh rasa hati.

"Baiklah. Akak tak tutup, ya?"

Dia senyum, dan aku tahu senyuman itu penuh harapan. Jika aku mampu, kubelikan tali pinggang itu untuknya. Moga Tuhan memudahkan segala kanak-kanak itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan