Jumaat, 1 Mac 2013

Kursus, satu dalam seribu

Ruangan kali ni aku nak kongsi dengan korang perihal selama 4 hari 3 malam aku menyertai kursus ketua platun sarjan KRS di Jabatan JPAM.
Aku akui memang latihan & ujian di sana sangat tegas & tough. Tapi alhamdulillah, aku berjaya menghabiskan kursus tersebut & membawa pulang pangkat Koperal KRS. Memang banyak sekali ilmu yang aku dapatkan selepas menyertai kursus tersebut. Kursus yang begitu efektif & kondusif di samping pengajaran & pembelajaran yang menarik. Itu tidak termasuk para tenaga pengajar yang sangat tegas tetapi selamba & baik orangnya, serta rakan-rakan seperjuangan yang memang sporting & macam-macam ragam. Semuanya menjadi kenangan paling manis dalam hidup aku. Alhamdulillah ya rabb, aku bersyukur kerana aku terpilih untuk menyertai kursus pendek ini.
Pertama kali aku menjejakkan kaki ke Jabatan JPAM ini, kulihat semua pegawai-pegawai yang ada di sini semuanya tegas & garang. Ada juga pegawai yang sangat kelakar tapi dalam masa yang sama mereka tetapenjalankan tugas mereka dengan baik. Tenaga pengajar yang pertama sekali kukenali adalah Mejar Shahabudin. Beliau merupakan orang pertama yang panggil kami masuk baris & mengajar kami di sini. Beliau adalah seorang bapa yang penyayang dalam ketegasan yang beliau tunjukkan. Beliau juga yang mengajar kami cara ikatan tali-temali & cara menentukan bearing kompas di peta mahupun di muka bumi. Selepas itu kami diambil alih oleh Kapten Zulkhalidin Mohd Shah yang merupakan Kem Komandan untuk kursus ini. Beliau juga adalah ketua Unit Disiplin & Kebajikan kadet kursus ini. Beliau seorang jurulatih yang berkulit cerah, segak, kacak & juga seorang yang sangat tegas. Dalam banyak-banyak tenaga pengajar di kursus ini, Tuan Zul merupakan satu-satunya orang yang mampu membuat aku tersenyum dek kekacakkan & kemanisan wajahnya setiap kali beliau tersenyum. Selain beliau, Mejar Mohd Zaidi juga merupakan salah seorang tenaga pengajar yang mengajar kami. Beliau sangat tegas di padang kawad, tetapi sebaliknya di luar padang kawad. Suara beliau apabila memberikan hukuman sangat kuat & lantang hingga bergema di padang Jabatan JPAM. Namun, beliau sangat mesra & suka mengusik kadet-kadet dengan lawak selambanya. Mejar Sulaiman pula adalah tenaga pengajar yang sangat baik hati & mengambil berat akan kami di kursus ini. Beliau tidak pernah memarahi kami tetapi beliau menegur kami dengan lembut & mudah mesra dengan kami. Mejar Kamaruzzaman atau lebih mesra dipanggil Tuan Kamal juga merupakan seorang tenaga pengajar yang sangat baik hati & lembut orangnya. Beliau juga merupakan seorang pegawai JPAM. Pada sebelum hari terakhir kami di kursus tersebut, beliau telah menunjukkan kepada kami 2 ekor ular sawa batik sebesar lengan. Beliau menerangkan tentang ciri-ciri ular tersebut & beliau juga membuat demonstrasi bagaimana untuk menangkap ular sawa & tedung menggunakan kaedah JPAM. Aku juga berkesempatan memegang ular tersebut walaupun ular adalah haiwan yang paling aku geruni.
Di samping para tenaga pengajar yang telah kusebutkan, ada juga tenaga pengajar untuk unit kerohanian & keagamaan iaitu Tuan Suriandi & Tuan Shahabudin Mohamad, & fasilitator yang membantu, Puan Mazanah, Puan Wee, Puan Shiqah Jantan, Tuan Ismadi, Tuan Kamaruzzaman, & Staf Awien. Mereka semuanya begitu komited & sentiasa mengajar kami sehinggalah kami faham.
Di samping semua pegawai bertugas berkenaan, aku juga dapat berkenalan dengan kadet-kadet daripada sekolah-sekolah lain di seluruh Melaka. Sikap mereka memang membuatkan aku tidak kering gusi sepanjang menyertai kursus ini. Mohd Khairuddin Luthfi dari SMK Malim telah dilantik menjadi Penghulu & ditauliahkan sebagai Kadet Putera KRS Terbaik manakala Ana Wardiah dari SMKA Sharifah Rodziah telah dilantik menjadi Penghuluwati & Kadet Puteri KRS terbaik. Separuh daripada kami berjaya mendapat pangkat Sarjan KRS & separuh lagi Koperal & Lans Koperal.
Semasa mengemaskan barang-barang dalam asrama untuk pulang pada hari terakhir aku di sana, perasaan sebak mula menyelinap masuk ke lubuk hati apabila semua kadet yang sama dorm denganku menyanyi lagu Sahabat daripada Najwa Latif ft. Syam Kamarul & Sleeq. Aku merasa sangat berat ingin meninggalkan Jabatan JPAM, para tenaga pengajar & kadet-kadet lain yang kukenali di sana. Aku cuba menahan rasa sebak & sedih itu. Aku bersalaman & mengucapkan selamat tinggal kepada semua tenaga pengajar yang aku sayangi dengan cepat lalu aku terus masuk ke dalam kereta guru penasihat yang datang menjemputku pulang. Dalam perjalanan pulang, aku banyak mendiamkan diri & aku hanya menjawab beberapa persoalan guruku sahaja. Sesampainya aku dirumah, aku terus letakkan beg & menunaikan solat Zohor yang sudah hampir habis waktu. Kudoakan semua tenaga pengajar yang aku sayangi dirahmati Allah, diampunkan dosa-dosanya, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik & umur yang panjang agar aku dapat bertemu lagi dengan mereka suatu hari nanti. Moga Allah perkenankan doaku, Amin ..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan