Isnin, 10 November 2014

Aku Lupa

Hari ini, setelah 12 hari berlalu, kau datang semula. Janggal. Aku tak keruan, apatah lagi pada waktu itu aku sedang bekerja. 

Kau perhatikan aku. Aku tahu itu. Ekor mata aku nampak kau renung aku. Lagilah aku jadi menggelabah, sebab yang dinanti dan diharapkan merenung tanpa henti. Tapi disebabkan rajuk yang masih bersisa, aku buangkan rasa itu jauh-jauh. Yang aku tonjolkan cuma wajah yang tak beriak. Selamba, walau dalam hati Tuhan saja yang tahu betapa aku mahu melepaskan rinduku. Rasa bagai nak aku peluk, nak aku cubit-cubit. Kenapalah terlalu lama ?

Disebabkan ego, aku tak menghiraukan kau. Aku biarkan kau bercakap seorang diri. Mengomel pasal kerja kau, pasal kita dah lama tak jumpa, pasal aku sombong (padahal kau yang sombong) dan semua ketidakpuasan hati kau dengan rakan sekerja. Aku tak peduli. Aku buat-buat sibuk. Akhirnya kau mengeluh, lalu berlalu pergi.

Terpempan seketika, saat aku melihat kau membelakangi aku dan melangkah menjauh. Makin lama, makin jauh. Langkah yang perlahan, seperti kau mahu aku menahan kau daripada melangkah lebih jauh lagi. Aku mahu tahan, tapi aku tak mampu berteriak mengeluarkan suara. Aku hanya melihat. Kau menoleh ke arahku secara tiba-tiba. Aku alihkan pandangan. Kau hidupkan enjin kereta, tak lama selepas itu kau terus memacu laju. 

Sesampainya aku di rumah, aku menghubungi kau dengan tujuan mahu kembali seperti biasa. Namun kau tutup telefon. Aku hantar mesej, aku hantar WhatsApp. Senyap. Marahkah kau ? Rajukkah kau ? Mungkin cara aku salah. Maafkan aku. Aku cuma mahu tunjukkan yang aku terasa hati. Aku mahu kau tahu yang kau telah buat aku terlalu rindu. Aku mahu kau lebih denganku. Tapi aku lupa kau punya banyak masalah. Aku lupa tekanan kerja kau, tekanan hidup kau. Aku lupa kau juga perlukan ruang. Aku lupa tentang kau. Aku fikir kau sudh tidak mahu meneruskan semua ini lagi. Aku fikir kau tidak perlukan aku lagi. Tapi aku tidak berada di sisi kau saat kau perlukan pendengar yang baik. Aku tidak menghiraukan kau bila kau datang mengadu. Aku cuma tahu menunjuk perasaan, mengikut emosi. 

Sayang, aku sayang. Kerana aku terlalu sayanglah, aku tersilap. Aku mahu kau sayangi aku seperti aku menyayangi kau. Aku sayang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan