Isnin, 27 Oktober 2014

Mata Kesayanganku, Gembiralah.

Hari ini kau datang lagi.
Tersenyum nakal mengusikku, mengejutkan aku dari angan yang melayang jauh meskipun buku kubuka luas. Aku tersenyum.
Bahagia.
Bahagia kerana sang pujaan hati datang menyapa. Alangkah girangnya rasa hati. Namun senyum nakalmu itu tidak bertahan lama. Diakhir senyummu terpalit riak duka.
Ah, aku cukup bencikan riak itu. Riak yang menandakan kau tidak seceria selalu. Riak yang tidak menampakkan tawa sukamu. 

Akhirnya kau meluahkan apa yang terbuku di dada. Terluah, melimpah semua yang kau pendamkan di hadapanku. Kau luahkan segala kesedihan dan kedukaan itu. Kau merintih pilu di hadapanku akan betapa penatnya kau, betapa tidak adilnya mereka dan betapa lemahnya kau mahu menghadapi semua. Hinggakan terdetik di hati kau untuk meninggalkan semua ini kerana kau tidak sanggup lagi untuk menempuhnya. 

Sakit yang kau rasa, sakit juga hati aku terasa. Setiap rintihan yang kau luahkan bagai mencarik-carik hatiku yang turut lara. Melihat mata itu, mata yang selalunya berkelip riang, mata yang selalunya memandangku tenang, tapi hari ini mata itu terlalu sayu. Mata kesayanganku itu hari ini terlalu pilu. Pilunya tercantum di jiwaku. Berat, perit terasa dibahu meskipun bukan aku yang memikul sendu.

Apalah dayaku untuk membantu, apatah lagi mahu melenyapkan segala rasa yang membuntu. Aku hanya mampu mendoakan agar Dia membantu meringankan bebanmu, agar Dia membantu menguatkan hatimu untuk tabah menghadapi dugaan ini.

Jika dengan meninggalkan semua ini mampu membuat kau sedikit lega, maka pergilah.
Jika dengan berhijrah mampu mengembalikan keceriaan di wajah kesayanganku itu, maka lakukanlah.
Dan apa sahaja yang kau mahu lakukan untuk melenyapkan lelah menyempitkan dada, akan aku dorongi.
Asalkan itu yang terbaik untuk kau, aku suka. Meskipun nanti kita bakal menjauh, meskipun nanti kita jarang bertemu, itu lebih aku relakan daripada melihat kau begini. 
Kerana itu lebih baik daripada aku melihat mata kesayanganku itu pilu, lebih baik daripada melihat wajah pemilik hatiku itu sugul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan