Apa yang diterbitkan di sini tidaklah segah sasterawan negara, tidak pula setanding para pujangga. Hanya beberapa bingkisan dari hati yang mahu berkongsi rasa.
Isnin, 5 Mei 2014
Syukur
Isnin, 16 Disember 2013
Susuran Malam
Menyusur malam
Melayari lautan hitam kelam
Untuk sampai ke destinasi esok
Yang disuluh suria terang benderang.
Jumaat, 13 Disember 2013
Mencari Yang Tersirat Sejak Azali
Kumahukan yang sanggup mempertahan cintanya,
yang tidak mudah berputus asa bila kumenduga,
dan yang setia mendorong usaha serta cita-cita.
Juga yang setulusnya menerimaku dan keluarga,
yang tidak peduli akan asal-usulku apa kaya atau papa.
Bukan yang hanya mahu kupujuk, kurayu sepanjang masa,
yang mahu mengongkong dari pelbagai aspek dan rupa,
atau yang mahu berlagak kuat semata.
Aku wanita jadi aku seharusnya menjadi mahal,
bukan sebegitu murah bersimpuh menjual.
"Perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik.
Begitu juga sebaliknya.
Dan laki-laki yang jahat untuk perempuan yang jahat.
Dan sebaliknya juga."
Kerna itu, ku juga sedang mempersiap diri
Agar aku sedarjat bersama yang bakal di sisi
Waima masih banyak lopak berisi kekurangan diri.
Dia Peduli
Ada kalanya, konflik jiwa begitu menduga
Hinggakan aku lebih rela lena berjam-jam
Daripada memikirkannya.
Ada kalanya, kemelut hidup begitu mencabar
Hinggakan aku lebih suka bersendiri
Daripada merunsingkan kepala.
Tapi, itu tandanya Dia masih peduli, masih sayangi.
Dia mahu aku bergantung padanya bukan hanya melarikan diri.
Ikutkan hati, aku mahu bermusafir sendiri.
Mahu menenangkan jiwa dan minda dengan menjamu mata.
Namun semua itu perlukan asasnya, perlukan pengerasnya.
Aku hanya si papa kedana yang penuh masalah lagi lemah.
Harus kulupakan semua ini dahulu.
Moga Dia masih peduli dan moga Dia membantuku dengan dzatNya yang Maha Agung.
Jumaat, 11 Oktober 2013
Pelaram
Selasa, 8 Oktober 2013
Kecamuk
Kecamuk sekelumit rasa
Kemelut merantai jiwa.
Tiap gelap malam
Tiap sirna siang.
Tak pernah beza
Cuma seiring sama.
Ah, persetankan !
Simpatiku tidak diriak
Ditunjuk luarannya tidak.
Penyebab kusuka mengendah
Barang apa yang menjengah
Dari melihatkan sisi lemah.
Ego menumpang sekaki
Bila selembar rasa disembunyi
Kau yang tidak fahami
Terus menghukum membuta tuli.
Ah, persetankan !
Selasa, 17 September 2013
Kemarau
Dah lama tak rasai diri dipeluk erat
Dah lama tak rasai tangan digenggam lekat
Dah lama tak rasai dahi dicium lembut
Dah lama tak rasai diusap ubun-ubun.
Dah lama hilang
Dahaga, haus, lapar, kebulur.
Khamis, 5 September 2013
Khilaf Aku
Khilaf aku terlalu terbuka
Silap aku terlampau cerita.
Salah aku selalu terlupa
Harusnya kutahu
Bukan semua mampu rasa
Bukan semua mahu rengsa
Tak guna salahkan sesiapa
Kerna mereka tak kenal kusiapa
Tak perlu lebih sapa
Jaga hati dan mata
Jangan sampai airnya kuseka.
Renyai
Titsan jernih itu mengalir
Bukan dari mata,
Namun langit legam.
Bukan dari telaga,
Namun kumulonimbus sarat.
Halus, kasar kemudiannya
Menitik, bukan lagi mengalir
Kejauhannya halus dilihat
Di dekatnya keras tamparan lekat.
Rabu, 4 September 2013
Tanggungan Rasa
Sesetengahnya akan mengungkap segala
Dilontarkan semua
Meski dalam tangis.
Mungkin ia terlalu banyak memendam,
Terlalu lama terperam.
Sesetengahnya pula lebih galak menangis
Meski lidah mencuba
Tiada kata, justeru tangis.
Barangkali terlalu berat diluah
Setelah sekian beralah.
Keduanya punya jalan tersirat,
Punya cerita berselirat.
Tiada siapa yang mengerti
Tiada jiwa yang fahami
Selagi tak menjalani.
Harga Serangkai Coretan
Zaman ini,
Tulisan lebih ditakuti daripada senjata.
Kerna apa ?
Kerna sebutir peluru hanya mampu membunuh satu nyawa.
Namun,
Serangkai coretan mampu merasuk sekalian umat.