Bila udara dingin menggigit deria rasa
Aku hanya berpeluk tubuh
Kaki kusilang rapat
Dan mata merenung langit hitam pekat.
Mungkin tiada jiwa setenang ini
Mungkin tiada rasa senyaman ni
Bahkan mungkin hanya malam ini
Atau malam-malam lain lagi
Malam nan istimewa kurniaan Ilahi
Buat hambaNya yang mahu mengerti
Dan yang tahu menghargai.
Syukur di atas nikmat kurniaan rezeki
Nikmat diberi perasaan di hati
Dan nikmat merasai kasih sayang sejati lagi abadi
Sesungguhnya tidak terdamba lagi diri ini
Melainkan hanya mampu memuji Ilahi tanpa henti.
Dalam kebanyakan waktu
Kita sering bergerak terlalu laju
Hingga tak perasan nikmat membujur kaku
Kadang juga tak endah segala yang berlaku.
Mari berhenti seketika dahulu
Mari merenung sejenak lalu.
Dalam dingin kau rindukan hangat
Dalam hujan kau mahukan mentari
Dalam gelap kau pintakan cahaya
Dalam sunyi kau mohonkan teman
Dalam hiba kau nyanyikan seloka
Dalam semua pemberianNya ini,
Tiadakah satu pun yang kau hargai?
Syukurlah atas nikmat kurniaan rezeki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan