Memaparkan catatan dengan label hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hidup. Papar semua catatan

Jumaat, 10 Januari 2014

Siapa Kita Untuk Tahu?

Orang tak pernah rasa, takkan tahu.
Orang tak pernah tahu, takkan faham.
Orang tak pernah faham, jangan memandai cakap diri tu faham.

Apa yang dilalui oleh setiap orang adalah berbeza. Latar belakangnya, sejarah silamnya, kehidupannya, cara tumbesarannya, semua berbeza. Ada yang selalu nampak ceria, bergelak ketawa sentiasa, tapi siapa tahu jika dia sedang menderita? Ada yang selalu menceritakan hal yang indah-indah sepanjang hidupnya, siapa tahu jika dia hanya mereka cerita bagi menyenangkan hatinya yang berduka lara?

Siapa kita untuk tahu?

Jumaat, 3 Januari 2014

Seketika Tadi

Mata ini tertancap padamu
Tercandu, lama ia di situ.

Detik berganti minit
Minit menginjak jam.

Aku tahu aku harus pergi
Namun kakiku enggan berganjak
Kaku, terus terpaku di situ.

Kulangkahkan jua dalam berat
Langkah demi langkah kususun rapat
Enggan terus berjauhan.
Mata terus melekap
Tiada kelip, tetap padamu
Biar kaki masih melangkah.

Akhirnya kau hilang di sebalik tembok
Pandanganku ditelan konkrit batu
Namun mataku masih di situ
Mengharapkan keajaiban bakal berlaku
Mengharapkan kau muncul di hadapanku
Untuk kulampiaskan rindu yang sering bertamu
Walau mataku hampir setiap hari mencarimu, melihatmu.

Begitukah nanti akhirnya ceritera kita?
Begitukah nanti bakal menyimpulkan cinta?

Kalau begitu, kumohon jangan.

Selasa, 8 Oktober 2013

Kecamuk

Kecamuk sekelumit rasa
Kemelut merantai jiwa.

Tiap gelap malam
Tiap sirna siang.

Tak pernah beza
Cuma seiring sama.

Ah, persetankan !

Simpatiku tidak diriak
Ditunjuk luarannya tidak.

Penyebab kusuka mengendah
Barang apa yang menjengah
Dari melihatkan sisi lemah.

Ego menumpang sekaki
Bila selembar rasa disembunyi
Kau yang tidak fahami
Terus menghukum membuta tuli.

Ah, persetankan !

Sabtu, 31 Ogos 2013

Siapa ?

Rasa itu hadir
Tiap kali kau kutemu
Rasa itu indah
Tiap kali kau mahuku

Namun,
Rasa itu berat
Tiap kali kau berlalu.

Siapa kau ?
Begitu mudah mempengaruh sendu,
Begitu murah memberi rindu ?

Tanda Tanya (?)

Hidup aku macam mana sebenarnya ini ?
Apa yang tak kena dengan alam persinggahanku ini ?
Apakah aku dikelilingi oleh adam yang durjana ?
Kenapa dari kecil hingga kini aku masih perlu merasakan takut pada mereka ?
Sudahlah dari kecil aku sudah hilang kasih seorang bapa, membesar pula dengan adam-adam petaka.
Traumatik itu masih ada. Fobia itu takkan hilang.
Syak wasangka itu masih bersarang.

Persoalannya, sampai bila ?

Rabu, 12 Jun 2013

Lakonan Watak Hidup

Dalam hidup
Tak semua realiti mampu dihadapi
Bukan semua lakonan boleh difahami
Namun berdasarkan pengalaman dan ketajaman akal
Kedua-dua perkara ini mampu dimengerti
Dan silap-silap,
Kita juga bakal mengambil bahagian
Dalam permainan watak lakonan hidup.

Selagi masih ada watak,
Selagi itulah adanya lakonan
Dalam kehidupan realiti dan fantasi.

Khamis, 30 Mei 2013

Rentasan Jiwa Muda Beramarah

Keinginan membuak-buak
Seiring dengan hati yang mendidih-didih
Jiwa memberontak bertubi-tubi
Ingin saja kuhentak, ketetak biar mati, ngeri.

Perasaan ini sukar dibendung lagi
'Rumahku syurgaku' hanya sekadar frasa sampah
Kebahagian usah ditagih
Takkan kau dapat, takkan kau capai
Pabila seluruh isi rumah adalah asing
Pabila seluruh ahlinya kian mengasing.

Impianku mencanak-canak
Ingin kukerah tulang empat kerat mentah
Mencari punca sesuap pelajaran
Menagih sumber sesuap nasi
Untuk diri sendiri di rantauan nanti.

Hasratku kini adalah canduku
Tanpanya aku mati katak di neraka ini
Tanpanya aku lemas dalam selautan hipokrasi
Akan kukejar selajuku, semahuku.

Hanya kejayaan yang mampu merubah dunia
Hanya pelajaran yang mampu mengubah segala
Hanya dengannya aku bakal berjaya.

Usaha,
Bantu aku untuk terus bersamamu
Rajin,
Bantu aku untuk terus mengekorimu
Jaya,
Tarik tanganku yang hampir layu
Jangan biarkan ku terjunam ke gaung sengsara
Usah biarkan ku terhempas ke lembah hina.
Hidup,
Berubahlah
Anjakan paradigma itu kita perlu !

P/s : Dicoret dengan amarah. Agak kasar. Maaf, jika menyinggung.