Memaparkan catatan dengan label rindu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rindu. Papar semua catatan

Khamis, 23 Januari 2014

Menunggu

Biar kau tak melihat aku
Biar aku tak memperlihatkan diriku
Aku tetap melihatmu
Aku masih menunggumu
Walau dari kejauhan yang tersangat dekat ini.

Kau nampak dekat
Tetapi sebenarnya kau sangat jauh
Kau lebih menjauh
Dari apa yang jauh.

Makin aku mengejar
Makin laju kau berlari
Makin aku mendekat
Makin jauh kau berdiri
Maka apa lagi dayaku
Melainkan hanya menunggu dan terus menunggu.

Ahad, 14 April 2013

Aku RINDU !!

"Saat itu
Pabila mata kau & aku bertentang
Perasaan kita setentang
Fikiran kita tak langsung menentang.
Saat itu
Pabila tangan kau & aku bersentuh
Hati kita bertemu
Jiwa kita berpadu
Dan kurasakan cinta kita bersatu.."

Ahh!
Persetankan semua halusinasi merapu!
Kembali ke alam sedarku!
Jauh sudah fikiran berlalu
Menebar luas harapan senjaku.

Namun aku rindu
Aku sangat rindu
Kurindukan raut wajahnya
Kurindukan jemari sejuknya
Kurindukan wangian harumnya

Pandangan ikhlas itu
Ucapan ringkas itu
Ia bagai mencandukan aku
Terdesak!
Sungguh, aku merindukanmu ..

Sabtu, 6 April 2013

Kuperlukanmu

Saat hati rasa kosong, lohong
Tak semena-mena kurindukan pelukan itu
Kurindukan usapan di kepalaku
Kurindukannya!

Manakan kudapat pelukan dan usapan itu lagi?
Manakan kurasa kasih sayang seikhlas itu lagi?
Apa aku tidak layak untuk merasakannya?

Bukanku meraih simpati
Namun setiap kali kurasakannya
Kuperlukan kalian
Kalian yang sudi mendengar
Cukuplah dengan hanya mendengar
Aku tidak minta kalian mensaratkan otak, memeningkan kepala memikirkannya
Aku hanya mahu kalian dengar, rasa dan fahamkan
Itu saja.

Cukup bagiku jika ada yang memahami
Cukup bagiku jika ada yang mengambil berat
Apatah lagi yang sentiasa di sisiku
Tikaku memerlukan bahu yang sudi menjadi tempat lentuk kepalaku
Tikaku memerlukan tangan yang menggenggam erat jari-jemariku
Dan tikaku memerlukan mata yang sedia merenung ke dalam mata hatiku.

Dimanakah insan yang sudi melakukan itu denganku?
Insan yang sanggup bersama dalam susah senangku.
Dan insan yang sentiasa menemaniku dalam gelak tawa dan senduku.

Kumencarimu, sayang.
Kuperlukanmu ..

Jumaat, 25 Januari 2013

Kerinduan yang dicantas

Kali ini, aku ingin sekali berkongsikan apa yang sedang kulalui sekarang.
Aku merinduinya. Mengapa? Ya, aku tahu aku akan bersua muka dengannya setiap hari di sekolah. Namun apa yang kurindukan adalah saat-saat indah waktu dahulu. Saat aku sering bertanya khabarnya, saat aku sering bergurau senda dengannya & saat aku menyiapkan hampir separuh daripada tugasannya. Manis! Terasa seperti dialah bapa terbaik dalam hidupku. Walaupun penat seharian membantu menyiapkan tugasannya, aku gembira. Gembira kerana aku dapat meluangkan masa bersamanya, meringankan bebannya & menatap wajahnya.
Mungkin bagi kalian yang masih belum pernah merasai kehilangan ibu bapa terasa hal ini kecil. Tetapi bagi aku, aku sangat menghargai setiap waktu yang aku ada bersama-samanya. Maklumlah, budak yang tiada berbapa seperti aku ni, sangat memerlukan perhatian & kasih sayang daripada yang sudi. Tetapi aku tidak meminta-minta. Aku hanya menagih dalam diam agar aku tidak dipandang serong oleh yang lain-lain. Aku juga punya maruah. Maruah yang perlu kujaga rapi kerana ia menunjukkan harga diriku yang sebenar.
Sering kali aku tersenyum sendiri dek memikirkan perubahan pada dirinya. Dia yang dahulunya kurang mesra kini mahu menjadi lebih akrab & mesra denganku. Memang, memang inilah yang aku inginkan sedari dulu. Perhatian & layanannya yang saling tak tumpah seperti melayan anak-anaknya sendiri. Namun, apalah yang mampu kulakukan. Aku tidak mampu untuk berada dekat dengannya lagi. Aku juga tidak boleh rapat & mesra dengannya seperti dulu lagi. Semua ini hanya kerana sebuah janji. Janji yang termeterai antara aku & isterinya yang tidak langsung mahu memahami keadaan aku & dia.
Sudahlah, kata orang, 'barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang merosak badan..' Jadi eloklah kalau aku terus menjaga batasku dengannya agar perhubungan ini tidak menjadi lebih keruh & tidak pula menambahkan rasa cemburu dihati isterinya yang tidak pernah mengerti isi hati yang kumiliki..