Membesar dalam situasi keluarga yang kurang 'efisien' ini membuatkan aku semakin teguh dengan cita-cita aku. Membuat aku bertambah yakin dengan usaha aku.
Memang, semuanya di tangan sendiri. Mahu berjaya atau tidak, mahu senang atau tidak, malahan jika aku mahu membeli sesuatu pun, aku harus mengumpul wang sendiri. Paling tidak pun aku akan keluarkan duit biasiswa sekolah secara senyap. Tanpa pengetahuan sesiapa. Selalu juga borang pengeluaran tu aku tandatangan sendiri. Bertujuan untuk mendapatkan apa yang aku perlukan seperti membeli kasut sekolah baru (kasut lama dah koyak), mahu membeli kertas kajang, membeli baju baru (setahun sekali), untuk perbelanjaan setiap hari di sekolah dan banyak lagi. Kadangkala ibuku juga menggunakan duit biasiswa aku untuk membayar bil-bil rumah seperti Astro, elektrik dan sebagainya. Aku keluarkan, tapi dengan jimat. Aku tahu duit tu nanti boleh kuguna untuk menyambung pelajaran.
Pendek kata, memang semua kehendak dan kebanyakkan daripada keperluanku, aku beli dengan duit sendiri. Aku mahukan telefon bimbit, aku kerja part-time di Pasaraya Borong Sakan. Aku mahukan sniker dan kemeja yang cantik dijual di Tesco, aku guna duit gaji selama aku bekerja. Aku mahu bergaya dengan cermin mata hitam, aku beli sendiri yang murah-murah di pasar malam. Paling tak pun, di pasar lambak. Blaus dan kemeja untuk dipakai semasa keluar dengan rakan-rakan (itu pun jarang keluar) pun aku beli sendiri. Dalam 4-5 helai dah aku punya sekarang. Kawan-kawan aku pun dah tahu baju apa yang aku ada. Sudah boleh hafal.
Aku bukannya hidup sebatang kara. Aku ada ibu kandung. Aku ada adik-beradik (tiri). Ayah tak payah cakaplah. Ada ayah tiri pun aku rasa lebih baik tak ada. Tak menyumbang apa-apa pun (melainkan gangguan emosi dan perasaan). Cuma aku malas nak meminta duit daripada ibu atau adik-beradik lain yang dah bekerja. Bukan apa, tapi sememangnya peratusan untuk aku dapatkan duit daripada mereka sangat tipis. Susah nak dapat. Dua tahun lepas, yuran sekolah aku tak berbayar sampai bulan Oktober. Masa tu dah nak PMR, baru mak aku bayar. Sedangkan yuran PIBG tu hanya Rm 35. Kawan aku yang hidup lebih susah dari keluarga aku pun dah bayar dari awal tahun. Nak kata susah sangat, aku tak rasa keluarga aku susah. Sebab setiap kali dapat gaji, pasti mereka borong kain tudunglah, beg tanganlah, alat mekaplah, telefon canggihlah, sofa barulah. Macam-macam dibelinya. Tujuan? Untuk bersaing dengan rakan-rakan & jiran mereka. Nak beritahu satu kampung bahawa mereka juga berkemampuan untuk membeli barang-barang sedemikian. Tapi lepas beli, ikat perut sampai gaji seterusnya dan ulangi lagi khilaf yang sama.
Jika sudah begitu, berapa lagi yang dapat aku minta untuk diriku? Mereka pula lihat aku jenis yang tak meminta, lagilah mereka lepas pandang. Aku dapat rasakan bila aku mahu menyambung pelajaran nanti, pasti aku harus gunakan duit sendiri atau mengharapkan pinjaman semata-mata. Kakak-kakak aku dulu tak sambung belajar pun disebabkan masalah kewangan. Tiada simpanan yang dibuat. Dapat duit, habis. Aku tak nak nasib aku macam mereka, berakhir di pasaraya. Bekerja sebagai promoter & pekerja di butik pakaian. Aku mahu kejar cita-cita aku. Aku mahu hidup senang. Bukan macam sekarang, terpaksa ikat perut simpan duit belanja setiap hari untuk membeli sesuatu. Aku tak nak lagi hidup macam ni.
Memang, kadangkala hati mencemburui rakan-rakan lain. Habis SPM, mereka rancang nak rehat, duduk di rumah sampai dapat tawaran sambung belajar. Tapi aku tak boleh macam tu. Yelah, mereka orang senang. Nak sambung belajar, ibu bapa mereka boleh tanggung. Tak perlu buat pinjaman pun. Aku? Aku kena usaha dengan duit sendiri. Janganlah mengharapkan duit simpanan keluarga. Memang tiada. Malah, aku dah rancang perjalanan hidup aku selepas selesai SPM. Aku tak boleh 'rehat' di rumah. Aku kena terus cari kerja yang bergaji standard untuk menyimpan untuk perbelanjaan sekurang-kurangnya semester pertama di universiti nanti sebelum dapat bantuan pinjaman. Aku punya 5 bulan untuk kumpul wang untuk deposit motosikal (memudahkan pergerakan dari kampus ke tempat kerja nanti) dan pendaftaran serta biaya semester pertama sebelum dapat tawaran UPU (kalau dapat). Dan aku bercadang, masa belajar nanti pun aku tetap kena bekerja part-time Sabtu dan Ahad untuk tampung perbelanjaan sendiri sampai keadaan kewangan stabil. Kalau nak minta keluarga bantu beri duit belanja setiap bulan, memang taklah jawabnya.
Daripada situasi pembesaran yang begini, aku tahu aku harus usaha lebih. Tugas aku bukan belajar, tapi juga mencari sumber rezeki untuk keperluan diri sendiri. Kalau musim cuti sekolah, aku memang takkan lekat dirumah. Aku mesti akan bekerja part-time di mana-mana pasaraya yang memerlukan pekerja. Pengalaman bekerja di pasaraya yang sangat memenatkan membuatkan aku berazam untuk tidak mahu bekerja di sana lagi selepas ini. Aku mesti dapatkan pekerjaan yang setaraf dengan pelajaranku nanti dan memuaskan hatiku sendiri. Semua kulakukan demi kepuasan diri sendiri. Bukan untuk orang lain. Bagiku, ia adalah kepuasan yang harus aku berikan pada diriku setelah berhempas-pulas menyara diri untuk mencapai apa yang kumahu dan berjaya dalam hidup.
Mungkin bagi kalian yang tidak merasakan, kalian akan menyangkal prinsip aku. Tapi bagi aku yang melalui sendiri, aku sangat yakin dan percaya dengan matlamatku. Aku tahu sangat dengan keluargaku dan aku tahu sangat potensi diriku.