Jumaat, 10 Januari 2014

Dekat Tapi Jauh

Biar kau tak melihat aku
Biar aku tak memperlihatkan diriku
Aku tetap melihatmu
Aku masih menunggumu
Walau dari kejauhan yang tersangat dekat ini.

Kau nampak dekat
Tetapi sebenarnya kau sangat jauh
Kau lebih menjauh
Dari apa yang jauh.

Makin aku mengejar
Makin laju kau berlari
Makin aku mendekat
Makin jauh kau berdiri
Maka apa lagi dayaku
Melainkan hanya menunggu dan terus menunggu.

Jumaat, 3 Januari 2014

Izinkan Aku

Hampir setiap malam
Aku pasti tidak sabar mahu lelapkan mata
Kerna aku ingin bertemumu lagi
Kerna aku ingin menyapamu lagi.

Benarkan lenaku ditemani mimpimu
Benarkan aku tersenyum sepanjang tidur malamku
Hingga aku terjaga esok pagi
Jika masih kupunya sisa nyawa ini.

Benarkan aku mengisi ruang kosong di hatimu
Benarkan aku menyayangimu dengan segenap ragaku
Takkan kusiakan dirimu
Takkan pernah kubuang kau jauh
Hati ini milikmu, kekal di dalamnya kamu.

Berikan aku kesempatan
Berikan aku peluang
Meski hanya secebis dari sepenuh hati
Akan kubuktikan mahalnya cintaku
Yang selayaknya untukmu.

Izinkan aku berada dalam dakapanmu suatu hari nanti
Izinkan aku mencium tanganmu suatu hari nanti.

Izinkanlah,
Keizinanmu suatu anugerah buatku.

Seketika Tadi

Mata ini tertancap padamu
Tercandu, lama ia di situ.

Detik berganti minit
Minit menginjak jam.

Aku tahu aku harus pergi
Namun kakiku enggan berganjak
Kaku, terus terpaku di situ.

Kulangkahkan jua dalam berat
Langkah demi langkah kususun rapat
Enggan terus berjauhan.
Mata terus melekap
Tiada kelip, tetap padamu
Biar kaki masih melangkah.

Akhirnya kau hilang di sebalik tembok
Pandanganku ditelan konkrit batu
Namun mataku masih di situ
Mengharapkan keajaiban bakal berlaku
Mengharapkan kau muncul di hadapanku
Untuk kulampiaskan rindu yang sering bertamu
Walau mataku hampir setiap hari mencarimu, melihatmu.

Begitukah nanti akhirnya ceritera kita?
Begitukah nanti bakal menyimpulkan cinta?

Kalau begitu, kumohon jangan.

Apa Lagi Kau Mahukan?

Bila mereka menzalimimu
aku yang pertama menentang.
Bila mereka memarahimu
aku yang pertama mempertahan.

Biar salahmu sebesar dunia
Biar benarmu sekecil zarah
kau tetap kudahulukan
kau tetap kudepankan.

Perit yang kau rasakan
Pedih kurasa tempias
Penat kau sehari-hari
Kumengeluh fahami.

Apa lagi yang kuperlu jika bukan kau?
Apa lagi yang kumahu selain kau?
Tiada, melainkan kau.

Jadi, apa lagi bukti yang kau mahu?

Khamis, 2 Januari 2014

Sebentar Tadi

Sedang aku ralit di sini
Datang sekilas wajahmu
Terus menyergah resah jiwa
Membuat raga meronta-ronta
Mahu melihat senyummu seindah biasa
Mahu melihat dirimu sesihatnya saja.

Sebaik mata ini tertancap padamu
Tercandu segala rasa yang selalunya terperap kemas
Terluah semua rasa yang biasanya tersimpan dalam
Menyinar melalui mata penuh kelegaan
Terserlah dengan bibir penuh senyuman.

Begitulah lapangnya dada bila bertemumu
Begitulah tenangnya jiwa bila mendengar suaramu
Terasa semuanya harum berbunga
Seperti kemboja mengharum di dahannya.