Rabu, 27 Mac 2013

Inginkan Hatimu

'Sedalam aku memendam
Rasa sayangku padamu
Tapi mengapa dirimu
Tak pernah sadari itu?

Tak sadarkah dirimu
Kucintai kamu?
Atau memang dirimu
Tak cintai aku?

Kau membuat cintaku hidup kembali
Kurasakan cinta yang begitu dalam
Hinakah ku jika kumohon padamu
Bahwa aku menginginkan
Kusangat memiliki hatimu'

'He ignores me.
But I love him.
He does nothing.
But I fall for him.
I miss him.
Eventhough I know,
He's never thought about me'

'Cinta Itu Pelik'

'Cinta itu pelik.
Macam kau.
Kau manusia pelik'

Berkali-kali aku menatap gambar ini. Berkali-kali itu jugalah aku menanyakan diriku,
"Mengapa kau tak mahu mengalah?
Mengapa kau ingin terus berharap?
Apa kau tidak nampak kebahagiaan mereka?
Kau tidak nampakkah senyuman & gelak tawa mereka berdua?
Mereka bahagia.
Kau juga patut bahagia, bukan?"

Aku terpana sendiri. Tidak dapat hendak diterjemahkan rasa sakit dihati. Bukan sakit kerana melihat mereka bahagia. Tetapi sakit disebabkan diri sendiri yang tidak mahu mengerti hakikat yang telah lama di depan mata. Hakikat yang terbentang luas, lama dah sepatutnya kufikirkan.
Tapi aku terus melayankan perasaan. Terus berhalusinasi sendiri tanpa khuatir. Seolah-olah apa yang aku angankan ini mampu menjadi kenyataan.
Ya Allah, sedarkan diriku. Sedarkan aku bahawa aku sedang mengalami dilema paling besar sepanjang hidup aku. Lebih besar dari dilema anak tidak berbapa & lebih besar dari dilema gangguan seks oleh lelaki-lelaki yang pernah kukenali.
Mungkin sebenarnya hati telah lama menyedari akan hal ini. Cuma perasaan yang mendalam terhadapnya yang membuatkan aku meneruskan apa yang kuanggap betul ini. Bila kuceritakan kepada sahabatku, mereka pasti hanya mengangguk-angguk tanda faham. Tapi mereka tidak pernah faham. Sebab itu mereka hanya mendengar, tanpa solusi yang bernas bagi membolehkan aku terus berhadapan dengan dilema ini. Akhirnya, segala penceritaan panjang lebar yang kulakukan hanyalah sia-sia kerana mereka tak pernah faham walau pun mereka mencuba untuk memahami. Bukanlah aku menyalahkan mereka kerana tidak memahami apa yang aku lalui. Aku tahu mereka tidak pernah lalui jadi sebab itulah mereka tak pernah faham.
Kadang-kadang aku rasa ada baiknya aku pendamkan saja dilema ini. Bak kata cikguku,
"Benda kalau difikirkan sangat akan menjadi lebih ruwet.
Lebih baik serahkan kepada Allah swt.
Biar Dia yang tentukan.
Berdoa sajalah agar semuanya menjadi lancar".

InsyaAllah, akan kucuba. Allah, bantuku!

Ahad, 24 Mac 2013

Aku hanya mampu berdoa buatmu..

Seseorang pernah bertanya kepadaku, "Kau tak jeles ke tengok dia dua orang tu? Sweet jer..,"
Dulu memang pernah aku cemburu. Ya, dulu. Saat itu aku terlalu fikirkan tentang hal ini. Waktu itu aku juga agak pentingkan diri. Tapi sejak aku fahami bahawa cinta itu tak semestinya memiliki, aku mula 'longgarkan' rasa itu.
Kalau aku betul sayang dia, aku mesti kena suka bila dia bahagia. Aku mesti lakukan apa saja untuk buat dia bahagia. Aku mesti doalan kebahagiaan dia. Kerana satu sebab, aku tak mahu dia susah. Aku tak mahu dia sedih. Aku sayang dia, jadi aku mahu yang terbaik untuk dia.
Tatkala dia sakit, aku bagai terasa sakitnya. Saat dia kecewa, aku juga hampa. Waktu dia marah, aku juga geram. Dan pabila dia bahagia, aku pasti suka. Hal ini jelas kelihatan bila dia sangat bahagia pabila di sisi Sha. Aku boleh nampak itu. Senyuman dan tawanya saat di sisi Sha sangat jujur & dari dasar hati. Sudah pasti dia sangat bahagia dengannya. Namun jika aku 'merampasnya', aku juga tidak tahu apa layakkah aku membahagiakannya sedemikian rupa? Dapatkah aku membuat dia tersenyum sebegitu lagi? Mungkinkah bagiku untuk menggembirakan hatinya? Sudah pasti aku akan gagal kerana aku bukanlah insan yang diperlukannya. Dia hanya memerlukan Sha. Sha yang sekarang telah 5 tahun hidup bersamanya. Susah senang, jatuh bangun mereka tetap berdua. Dari awal dia berkarier hinggalah sekarang, dia telah berjaya.
Aku akui, aku sangat menyayanginya. Aku terlalu mencintainya. Hinggakan aku merasa bagai aku menyayangi dan mencintainya lebih dari diriku sendiri. Aku sanggup berhabis untuknya. Aku sanggup lakukan apa saja untuk mengetahui apa saja tentangnya. Sampaikan sesiapa yang mengenaliku dengan rapat pasti akan tahu bahawa aku sangat menyukainya. Betapa besar hati, impian dan harapanku padanya. Tak tertara dek gunung-ganang sekali pun.
Perasaan ini ikhlas. Tulus. Hanya buat si dia yang aku harapkan. Tapi aku tahu harapanku ini takkan ke mana. Cuma aku yang tidak ingin berhenti berharap. Masih lagi mahukan pengharapan yang kabur & jauh ini.
Dulu aku sedih. Sedih dengan diri sendiri yang hanya menyakitkan hati sendiri. Namun aku perlukannya untuk 'menyinari' hari-hariku biarpun tanpa kehadirannya. Cukuplah dia hadir di setiap mimpi-mimpiku. Itu pun sudah cukup membahagiakan hariku. Melihat gambar-gambarnya saja pun sudah cukup untuk membuat aku tersenyum sendiri. Pabila melihat gambar-gambar mesranya bersama isteri tercinta, aku berasa seperti aku yang dipeluknya, seperti aku yang dirangkulnya kemas. Hinggakan tidur malamku pasti ada bantal pelukku yang kupeluk erat pabila aku teringatkannya. Seperti itulah hari-hariku berlalu. Tidak pernah berubah bahkan semakin 'nazak'.
Dan, aku? Aku hanya terus 'melayankan' rasa ini sambil terus berdoa agar dia dan isterinya terus bahagia bersama, dimurahkan rezeki, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, diberikan kesihatan yang baik & kehidupan yang diberkati dan dirahmatiNya .. Amin, ya rabb ..

Khamis, 14 Mac 2013

Pengalaman perit mencipta 'hidup'

Dari kecil dia memang tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak dibesarkan oleh ibunya sendiri seperti kanak-kanak lain. Dia tidak pernah mengenali bapanya seperti kanak-kanak lain. Dia tidak pernah merasakan majlis sambutan hari lahirnya seperti kanak-kanak lain. Dia tidak pernah lekang dari perasaan takut. Dia tidak pernah lekang dari perasaan rendah hati.
Apa yang sering dirasakannya ialah ibunya tidak menyayanginya seperti kanak-kanak lain. Dia tidak berbapa seperti kanak-kanak lain. Dia tidak sebahagia kanak-kanak lain. Dia tidak bebas bermain seperti kanak-kanak lain. Hal ini disebabkan oleh dirinya yang dibela oleh neneknya sedari kecil. Ibunya pula jarang-jarang sekali pulang untuk menjenguk dirinya. Hanya sesekali ibunya pulang pabila mahu membelikan keperluan persekolahan & pakaian saja. Ditambah pula dengan 'cakap-cakap belakang' nenek & ibu saudaranya, makin membuatkan dia merasa ibunya tidak pernah menyayanginya.
Dari mula dia mencelikkan mata, dia telah menganggap Zakaria adalah bapa kandungnya. Namun selepas usianya mencecah 10 tahun, dia diberitahu sebaliknya. Bapa dia sebenar bukanlah seperti yang disangkakannya. Bapa dia sebenar tidak sama seperti bapa kakak-kakak & abangnya. Musa. Musa adalah bapa kandungnya. Siapalah yang memahami perasaan seorang kanak-kanak sekecil dia yang baru hendak mengenal dunia, dihimpit dengan gelojak sebesar itu? Siapalah yang tahu betapa sukarnya perasaan seorang anak yang begitu manja bersama bapanya, lalu mengetahui dirinya bukanlah anak sebenar 'bapa'nya itu? Bagaimana anak itu harus menerima seorang yang tidak dikenalinya sebagai bapanya? Bukan setakat berjumpa, malah nama Musa itu sendiri tidak pernah didengarnya. Mungkin hanya air mata yang bercucuran dapat meluahkan segalanya. Bapanya yang selama ini disangkakan sudah meninggal dunia, rupanya hanyalah bapa tiri. Dan bapanya yang sebenar tidak diketahui mana hilangnya. Entahkan hidup, entahkan mati.
Tidak cukup dengan itu, kehidupannya bersama nenek semenjak kecil amat daif. Ibunya yang menetap di negeri jiran pun hanya membantu sekadar termampu. Ibu saudara yang tinggal bersama dia & neneknya pula bagaikan bukan saudara. Jarang sekali keluarga mereka membantu. Yang ada hanyalah wang bantuan dari JKM untuk neneknya sebanyak RM80 sebulan. Kemudian dengan izin Tuhan yang Maha Mengasihani, jumlah wang bantuan itu ditingkatkan kepada RM120 sebulan. Itu juga masih belum mencukupi bagi membayar bil elektrik, bil air, makan, minum, & keperluan harian. Setelah pemergian bapa tiri yang telah dianggapnya sebagai bapa kandung itu meninggal dunia semasa dia berumur 5 tahun, bekalan air telah dipotong kerana telah tertunggak banyak. Sejak itu, aku harus membantu nenekku mengangkat berbaldi-baldi air dari paip rumah ibu saudaranya ke rumahnya sendiri untuk kegunaaan mandi, minum, membasuh, & sebagainya. Walaupun berat baldi yang harus diangkatnya, berat lagi masalah hidupnya yang membelenggunya sejak kecil.
Mungkin sebab itu sekarang dia tidak punya masalah untuk berdikari. Hal ini kerana sedari kecil, dia sudah terbiasa hidup berdikari. Kalau hendak makan, masak nasi sendiri, goreng telur sendiri. Kalau hendak ke kedai, jalan kaki sendiri melalui jalan hutan getah di pinggir kampung. Dam masa yang sama harus menjaga neneknya yang sakit, di tambah dengan 'masalah dalaman' dari ibu saudaranya sekeluarga, dia kini cukup tabah untuk menghadapi hidupnya. Dia boleh saja seorang diri. Dia boleh saja tidak berteman. Kerna dia sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu.
Pernah juga dia merasakan hidup ini tidak pernah adil terhadapnya. Dia selalu membandingkan dieinya dengan rakan-rakannya. Kerna dia sentiasa punya masalah. Dia tidak segembira sewaktu bersama rakan-rakannya di sekolah. Sampai saja di rumah dari sekolah, dia terus bertukar watak. Perwatakannya di sekolah & di rumah sangat berbeza. Mungkin kerna dia malu dengan cara hidupnya. Mungkin juga kerna dia tidak mahu orang lain mengetahui jalan hidupnya. Sebab itu dia amat berbeza di sekolah berbanding di rumah.
Oleh kerana itulah dia sangat mudah tersentuh apabila melihat sebuah keluarga yang bahagia di hadapannya. Dia sangat mencemburui rakan-rakannya yang mendapatkan kasih sayang dari ibu bapa mereka sepenuhnya. Dia juga sangat marah apabila ada antara rakan-rakannya yang menyalahkan ibu bapa mereka atas sebab-sebab remeh seperti ibu bapa mereka memberikan duit belanja yang sikit, lambat menjemput pulang dari sekolah, tidak mengingati hari lahir atau apa saja alasan yang temeh. Kerana baginya, mereka yang masih punya ibu bapa yang memberikan makan & pakai yang cukup, mereka sangat beruntung. Berbanding dirinya sendiri yang hanya mampu menelan nasi putih bersama kicap & kalau ada telur serta ikan bilis, itu sudah cukup baik. Dia juga mudah menyayangi orang lain kerana dia juga mahu disayangi. Dia akan betul-betul menyayangi seseorang yang dia sayangi atau cintai dengan sepenuh hati kerna dia mengharapkan orang itu juga menyayanginya. Dalam erti kata lain, aku boleh kategorikan dirinya sebagai insan yang kekurangan kasih sayang dari keluarga.
Biarpun kini dia telah menetap bersama ibunya, namun kehadiran bapa tirinya yang kedua ini amat mendukacitakan. Gangguan seksual, gangguan mental dan kata-kata cacian sering didengarinya. Hal ini membuatkan dia tidak suka meluangkan masa di rumah. Dia lebih suka berada di luar tak kira sendiri atau bersama rakan-rakan. Dia juga merasakan earphone miliknya adalah perkara yang wajib ada bersamanya setiap hari. Hal ini kerana earphonenya akan menjadi 'penyelamat' untuknya dari mendengar kata cacian & hinaan daripada bapa tirinya yang tidak punya perasaan itu. Telefon bimbit & earphonenya adalah tempat untuk dia membuang rasa bosan, sedih, sunyi & pilu selain dari kucing-kucingnya yang sering menjadi temannya di rumah.
Dia juga sangat mengharapkan agar suatu hari nanti, akan ada orang yang betul-betul menyayanginya dengan sepenuh jiwa agar dapat dia menerima kasih dan sayang yang selama ini dia harapkan, yang selama ini dia terdesak untuk miliki. Dia juga mahu mendidik & membesarkan anak-anaknya nanti dengan penuh kasih sayang & perhatian agar anak-anaknya takkan merasai nasib yang sama seperti dirinya. Dia mahu anak-anaknya mendapatkan perhatian & jagaan yang secukupnya dari dirinya & suami suatu hari nanti. Dia tidak mahu anak-anaknya mempunyai memori hitam dalam ingatan mereka. Dia juga tidak mahu anak-anaknya akan merasa cemburu dengan rakan-rakan mereka. Dia mahu anak-anaknya merasakan bahawa dia & suami adalah ibu bapa yang terbaik pernah mereka miliki. InsyaAllah, doakan dia ..

Sabtu, 9 Mac 2013

Penangan HANYA PADAMU!

Aku rasa aku terlalu ikut perasaan sangat nih. Sampaikan aku boleh termimpi hal yang lebih kurang sama yang terjadi dalam drama Hanya Padamu tu, tapi dalam keadaan yang lebih real & lebih ngeri!
Ada ke patut aku mimpi yang wife dia tu ada masalah mental? Haihh, tak pe, aku mula dari awal, ok?
Semalam lepas tengok drama tu, aku online, lepas tu macam biasa aku tidurlah. Aku mimpi isteri dia (isteri dalam realiti, bukan yang dalam drama tu) ada sakit jiwa. Tapi tak teruk. So, dia ni pun sebab sayang, dia jaga sendiri di rumah. Dia hentikan seketika lakonan sebab nak jaga wife dia. Dia tak nak hantar dekat hospital mental sebab dia sayang.
Lepas beberapa bulan, keadaan wife dia ni jadi makin teruk. Kadang-kadang wife dia akan lupa yang K tu sebenarnya suami dia. Sampai dia suruh K keluar dari bilik tu sebab dia rasa terancam. K pun sebab sayang, ikutkan je. Tidurlah K seorang kat ruang tamu. Esoknya, wife K dah ingat balik yang K ni suami dia. Tapi dia tak ingat yang K ni pelakon. So, mengamuklah dia bila nampak banyak gambar-gambar K dengan perempuan lain dalam tablet. Dia terus terkam K yang tengah tidur kat sofa, dia cekik kuat-kuat! K terkejut tapi dia cuba slow talk. Dia tak nak berkeras dengan wife dia tu. Dia terangkan,
"Sayang, ni abang, sayang.
Abang, ni.
Jangan buat macam ni kat abang, sayang.
Sayang tak sayang kat abang ke?". Lepas tu, wife dia balas,
"Abang yang tak sayang Sha!
Abang tak sayang Sha, kan?
Abang ada perempuan lain!".
"Tak sayang. Tak ada.
Abang kan sayangkan sayang?
Abang tak ada orang lain, abang ada sayang jer.".
Wife dia masih lagi mencekik tapi K cuma pegang tangan wife dia je supaya tak kuat sangat cekikannya tu.
"Abang tipu!
Sha nampak banyak gambar abang dengan perempuan lain.
Mesra je pulak tu!
Pegang-pegang tangan!
Abang tipu!
Abang tipu Sha!", dan cekikannya makin kuat.
Bersungguh K cuba tahan tapi dia tak sangka yang wife dia tu boleh jadi sekuat tu. Dia cuba tarik tangan wifenya supaya melonggarkan sikit lehernya. K dah rasa sesak nafas. Kuat betul wife dia mencengkam sampai naik merah muka K disebabkan tidak dapat bernafas.
Selepas beberapa kali K cuba menenangkan isterinya yang tercinta tu, akhirnya cekikan itu dilepaskannya. Lega sungguh K. Terbatuk-batuk dia. Terus dia bawa wife dia masuk dalam bilik & diberikan ubat penenang. Dia tidur. K lega. Malam itu, K tidak keluar makan. Leher & kerongkongnya terasa sakit lagi akibat cekikan pagi itu. Dia terus masuk ke bilik & mencuba untuk tidur. Mungkin disebabkan katil itu bergerak apabila K naik, wife dia terjaga.
"Sha lapar, tak?
Sha nak makan?
Kalau Sha nak makan, abang belikan.
Sha nak makan apa?".
Tapi dia tidak menjawab. Berulang kali K menanyakan hal yang sama, namun wifenya hanya berdiam diri. Tiada jawapan. Lalu K berbaring sambil mencuba memeluk wifenya dari belakang. Tiada respons. Isterinya hanya kaku di situ, namun K tahu bahawa dia belum tidur. K mengeratkan lagi pelukannya & dia tertidur.
Tengah malam itu, K merasakan sesuatu di lehernya. Dia yang masih dalam keadaan separuh sedar separuh tidur itu mencelikkan mata & dia terkejut! "Sha! Sha buat apa ni, sayang?" tanya K kepada isterinya yang sedang menghalakan pisau di lehernya. Terasa ketajaman pisau itu di leher K. Dia cuba menenangkan isterinya lagi.
"Sayang, jangan buat abang macam ni, sayang.
Sayang tak sayang kat abang ke?
Sayang, sakit sayang.
Leher abang sakit.
Tajam tu sayang.
Sayang, bagi abang pisau ni sayang.
Kasi kat abang, eh?", pujuk K lembut.
Namun isterinya makin kuat menekan pisau itu di leher K. Dia cuba membunuh K! Tapi K masih tidak bertindak kasar. Dia cuba mengawal keadaan dengan 'slow talk'.
"Sayang, abang sakit ni.
Sayang tak kesian dengan abang, ke?
Jangan buat abang macam ni, sayang.
Please.."
Terasa pisau itu ditekan & ditarik perlahan. Leher K berdarah! Dia cuba menahan sakit. Walaupun dia mengadu kesakitan tapi isterinya itu terus menarik pisau itu dari hujung cuping telinga hingga ke bawah dagu K. Lukanya tidak dalam kerana hanya di atas kulit sahaja. Lagipun isterinya melakukan dengan lembut. Seperti orang sedang memotong kek! Akhirnya K cuba bertindak dengan menarik tangan wifenya yang memegang pisau itu kebelakang. K cuba menahan sakit akibat luka itu sambil memegang kuat tangan isterinya. Tiba-tiba isterinya tidak sedarkan diri. Penat barangkali. K bangun & mencuci darah yang mengalir & menutup luka dengan kain kasa & kapas. Malam itu dia menangis sendiri depan cermin dalam bilik air. Melihat keadaan dirinya yang tak terurus sepanjang menjaga isterinya.
Pagi itu, isteri K terjaga awal dari tidur. K masih lena di sebelahnya. Itulah K. Dia tidak pernah rasa takut akan tindakan luar jangkaan isterinya kerana dia yakin isterinya masih sayangkan dirinya. Cuma isterinya sakit. Itu sebab isterinya begitu. Lantas, melihat leher K yang berbalut, isterinya memeluk K erat. K terjaga. Terkejut sebenarnya. Namun dia tersenyum & membalas pelukan itu. Isterinya melepaskan pelukan & berlalu ke dapur. K menunggu di dalam bilik dengan penuh tanda tanya. Kemudian,
"Nah..", isterinya menghulurkan tali.
"Untuk apa?", K kebingungan.
"Ikat Sha.", jawab isterinya.
K menggeleng sambil mengambil tali yang dihulurkan oleh isterinya itu & meletakkan tali itu di meja tepi katil.
"Abang takkan ikat Sha.
Sha isteri abang.
Bukannya haiwan untuk diikat.
Abang tak sanggup nak ikat Sha, sayang..", kata K lembut sambil menatap wajah isteri kesayangannya.
"Tapi Sha tak nak nanti abang cedera lagi sebab Sha.
Sha ni bahaya. Sha jahat.
Sha tak nak abang sakit sebab Sha..", luah isterinya, ikhlas.
K tersentuh. Lalu didakap isterinya erat.
"Abang takkan ikat Sha.
Abang tahu Sha takkan buat apa-apa yang akan buat abang cedera teruk, kan?
Abang tahu, Sha sayang abang, kan?
Takkanlah sayang nak buat macam tu..", K cuba memberi alasan.
Sememangnya dia tidak mahu mengikat isterinya itu.
"Tapi nanti bila Sha tak sedar, Sha takut...", isterinya menangis.
"Sha kena lawan.
Lawan perasaan tu.
Sha kena ingat, abang selalu kat sini untuk Sha. Ok?", pujuk K lagi sambil mengelap air mata wifenya.
Ahh, sampai situ mimpi aku! Sweet betul! Tapi aku tersentuh dengan mimpi sendiri. Haha !!
*Bukan direka untuk mencabuli hak mereka, hanya mimpi aku yang tak terkawal.. :)

Jumaat, 8 Mac 2013

Kerinduan kembali bertaut

Hati bagai berbunga-bunga bila mengetahui 'Idiaroz' menghargai jersi kelab kami yang aku 'sponsor'kan untuknya.
Kali pertama aku melihat Idiaroz memakainya pada latihan kali ini. Dia nampak begitu segak dengan jersi merah menyala melekap di tubuhnya yang agak tegap itu. Alangkah gembiranya hati ini apabila jersi itu muat sekali di tubuhnya. Terasa bagaikan khas untuk dirinya sahaja.
Selama ini, aku menyangka dia tidak berkenan dengan jersi itu kerana dia tidak pernah menyarung jersi itu apabila melakukan latihan. Tapi akhirnya, dia memakainya hari ini & dia menghargainya! Hal ini sangat terserlah apabila ada pelajar yang menanyakan, "Wah, cikgu pakai jersi kelab hoki sendiri, eh?" lalu Idiaroz membalas, "Ini baju orang sponsor ni..". Alangkah gembira rasa hati apabila sahabatku mengatakan Idiaroz berkata begitu kepada pelajar tersebut.
Walaupun pada mulanya dia mahu membayar semula kepadaku, namun aku ikhlas & mungkin dia juga tahu yang aku ikhlas. Bukanlah aku nak sangat belanja, tapi pada mulanya aku bayarkan jersinya kerana dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana patah kaki akibat kemalangan motosikal tahun lalu. Lalu aku bayarkan dahulu untuknya kerana manager kelab nak buat tempahan segera. Dan itulah hasilnya sampai sekarang. Dia sukakannya & sekaligus membuat aku puas. Rasa berbaloi Rm30 dengan senyuman kepuasan yang aku pamerkan pabila Idiaroz menyarungkan jersi itu.
Alhamdulillah, segala berjalan lancar. Aku & rakan-rakan perlahan-lahan membuang rasa marah kepadanya & isteri akibat tragedi itu. Kami mula bersikap normal kepadanya & tidak lagi mensisihkannya setiap kali latihan. Cuma aku masih lagi 'takut' untuk bertentang mata dengannya atas sebab-sebab yang aku sendiri tidak pasti. Mungkin tidak lama lagi, aku juga akan biasa dengan hal ini. Hopefully.. :)

Jumaat, 1 Mac 2013

Kursus, satu dalam seribu

Ruangan kali ni aku nak kongsi dengan korang perihal selama 4 hari 3 malam aku menyertai kursus ketua platun sarjan KRS di Jabatan JPAM.
Aku akui memang latihan & ujian di sana sangat tegas & tough. Tapi alhamdulillah, aku berjaya menghabiskan kursus tersebut & membawa pulang pangkat Koperal KRS. Memang banyak sekali ilmu yang aku dapatkan selepas menyertai kursus tersebut. Kursus yang begitu efektif & kondusif di samping pengajaran & pembelajaran yang menarik. Itu tidak termasuk para tenaga pengajar yang sangat tegas tetapi selamba & baik orangnya, serta rakan-rakan seperjuangan yang memang sporting & macam-macam ragam. Semuanya menjadi kenangan paling manis dalam hidup aku. Alhamdulillah ya rabb, aku bersyukur kerana aku terpilih untuk menyertai kursus pendek ini.
Pertama kali aku menjejakkan kaki ke Jabatan JPAM ini, kulihat semua pegawai-pegawai yang ada di sini semuanya tegas & garang. Ada juga pegawai yang sangat kelakar tapi dalam masa yang sama mereka tetapenjalankan tugas mereka dengan baik. Tenaga pengajar yang pertama sekali kukenali adalah Mejar Shahabudin. Beliau merupakan orang pertama yang panggil kami masuk baris & mengajar kami di sini. Beliau adalah seorang bapa yang penyayang dalam ketegasan yang beliau tunjukkan. Beliau juga yang mengajar kami cara ikatan tali-temali & cara menentukan bearing kompas di peta mahupun di muka bumi. Selepas itu kami diambil alih oleh Kapten Zulkhalidin Mohd Shah yang merupakan Kem Komandan untuk kursus ini. Beliau juga adalah ketua Unit Disiplin & Kebajikan kadet kursus ini. Beliau seorang jurulatih yang berkulit cerah, segak, kacak & juga seorang yang sangat tegas. Dalam banyak-banyak tenaga pengajar di kursus ini, Tuan Zul merupakan satu-satunya orang yang mampu membuat aku tersenyum dek kekacakkan & kemanisan wajahnya setiap kali beliau tersenyum. Selain beliau, Mejar Mohd Zaidi juga merupakan salah seorang tenaga pengajar yang mengajar kami. Beliau sangat tegas di padang kawad, tetapi sebaliknya di luar padang kawad. Suara beliau apabila memberikan hukuman sangat kuat & lantang hingga bergema di padang Jabatan JPAM. Namun, beliau sangat mesra & suka mengusik kadet-kadet dengan lawak selambanya. Mejar Sulaiman pula adalah tenaga pengajar yang sangat baik hati & mengambil berat akan kami di kursus ini. Beliau tidak pernah memarahi kami tetapi beliau menegur kami dengan lembut & mudah mesra dengan kami. Mejar Kamaruzzaman atau lebih mesra dipanggil Tuan Kamal juga merupakan seorang tenaga pengajar yang sangat baik hati & lembut orangnya. Beliau juga merupakan seorang pegawai JPAM. Pada sebelum hari terakhir kami di kursus tersebut, beliau telah menunjukkan kepada kami 2 ekor ular sawa batik sebesar lengan. Beliau menerangkan tentang ciri-ciri ular tersebut & beliau juga membuat demonstrasi bagaimana untuk menangkap ular sawa & tedung menggunakan kaedah JPAM. Aku juga berkesempatan memegang ular tersebut walaupun ular adalah haiwan yang paling aku geruni.
Di samping para tenaga pengajar yang telah kusebutkan, ada juga tenaga pengajar untuk unit kerohanian & keagamaan iaitu Tuan Suriandi & Tuan Shahabudin Mohamad, & fasilitator yang membantu, Puan Mazanah, Puan Wee, Puan Shiqah Jantan, Tuan Ismadi, Tuan Kamaruzzaman, & Staf Awien. Mereka semuanya begitu komited & sentiasa mengajar kami sehinggalah kami faham.
Di samping semua pegawai bertugas berkenaan, aku juga dapat berkenalan dengan kadet-kadet daripada sekolah-sekolah lain di seluruh Melaka. Sikap mereka memang membuatkan aku tidak kering gusi sepanjang menyertai kursus ini. Mohd Khairuddin Luthfi dari SMK Malim telah dilantik menjadi Penghulu & ditauliahkan sebagai Kadet Putera KRS Terbaik manakala Ana Wardiah dari SMKA Sharifah Rodziah telah dilantik menjadi Penghuluwati & Kadet Puteri KRS terbaik. Separuh daripada kami berjaya mendapat pangkat Sarjan KRS & separuh lagi Koperal & Lans Koperal.
Semasa mengemaskan barang-barang dalam asrama untuk pulang pada hari terakhir aku di sana, perasaan sebak mula menyelinap masuk ke lubuk hati apabila semua kadet yang sama dorm denganku menyanyi lagu Sahabat daripada Najwa Latif ft. Syam Kamarul & Sleeq. Aku merasa sangat berat ingin meninggalkan Jabatan JPAM, para tenaga pengajar & kadet-kadet lain yang kukenali di sana. Aku cuba menahan rasa sebak & sedih itu. Aku bersalaman & mengucapkan selamat tinggal kepada semua tenaga pengajar yang aku sayangi dengan cepat lalu aku terus masuk ke dalam kereta guru penasihat yang datang menjemputku pulang. Dalam perjalanan pulang, aku banyak mendiamkan diri & aku hanya menjawab beberapa persoalan guruku sahaja. Sesampainya aku dirumah, aku terus letakkan beg & menunaikan solat Zohor yang sudah hampir habis waktu. Kudoakan semua tenaga pengajar yang aku sayangi dirahmati Allah, diampunkan dosa-dosanya, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik & umur yang panjang agar aku dapat bertemu lagi dengan mereka suatu hari nanti. Moga Allah perkenankan doaku, Amin ..