Si A sering bermesra denganku sejak kali pertama aku bekerja di sini. Aku punya perasaan yang mendalam terhadapnya. Segala-galanya aku lakukan demi dia, tanpa berkira. Kasih yang tak berbelah bahagi. Dia sudah dikenali oleh rakan-rakan dan keluargaku. Sudah lali di bibirku menyebut namanya. Acap kali kurindui jika tiada bayangnya di depan mata. Namun, sejak A menghilang tanpa berita, aku jadi sunyi keseorangan. Dia masih bekerja di tempat yang sama, makan di kedai yang sama, cuma dia tidak menghubungiku seperti biasa. Tiada berita, hanya keretanya yang dapat aku lihat kadangkala.
Si B pula, muncul dalam hidup aku dalam 2-3 bulan ini apabila guruku menjemputnya sebagai senior ke kelas untuk berkongsi pengalaman di universiti dan pahit manis sebagai bekas pelajar Program Pra-Universiti kepada kami sekelas. Tengah hari itu, dia hadir ke kelas dengan berbaju kelabu dan berseluar jeans. Memandangkan tiada kerusi yang tersedia dan pelajar di sebelah aku pula tidak hadir, aku bangun dan menberikan kerusi tersebut kepada B. Dia capai kerusi tersebut dan mengambil tempat di hadapan kelas sambil menghadap aku (kedudukan aku di hadapan sekali). Aku tidak berasa apa-apa. Biasa saja. Sehinggalah dia memberikan sepatah dua katanya serta berkongsi cerita. Agak kagum, namun masih lagi berlagak biasa.
Seminggu selepas kehadirannya di kelas, dia memohon untuk menjadi rakan di facebook. Setelah lama berfacebook, kami beralih pula ke WhatsApp.
Perasaan yang mendalam terhadap A tidak dapat aku gambarkan. Sikapnya yang nakal, suka mengusik, suka bercerita, dan gemar tunjuk hebat itu buat aku suka. Hampir setiap hari A akan membeli frappe di kedai aku bekerja untuk berbual denganku pada waktu rehat atau selepas waktu kerja. Hampir setiap hari bertemu, perasaan padanya makin dalam. Kalau tak jumpa sehari, rindunya bagai hati disiat-siat. Cuma kami tidak ada 'declaration' hubungan serius. Aku mahu serius dengannya, tetapi dia mohon lebih masa. Aku turutkan sahaja kerana aku tidak mahu memaksa. Aku juga masih muda. Perkenalan selama 2 tahun ini juga masih belum membuktikan apa-apa. Tidak tinggal solat, pemalu tetapi mudah mesra, tidak kedekut dan sikap family-man ialah antara keistimewaan yang ada padanya. Beribu gambar kami captured bagi memori setiap masa yang kami lalui bersama. Indah. Bahagia.
Bersama B pula, aku rasa dihargai dan lebih disayangi. Tanpa segan silu B menunjukkan rasa sayang dan cintanya terhadap aku. Layanannya yang sangat lembut, sentiasa beralah dengan sikap aku dan panggilan-panggilan yang manis dan romantis tidak lekang darinya. Sangat gentleman, loving, manja, selalu tenang dan protective. Tapi aku belum ada perasaan yang begitu istimewa terhadapnya. Dua kali lamaran untuk menjadikan aku sebagai kekasihnya aku tolak. Aku takut memberi harapan palsu. B pernah terluka, jadi aku takut melukakannya sekali lagi. Namun bila ketiadaannya, aku berasa sunyi. Tiada teman untuk berbual memandangkan A juga selalu sibuk dengan kerja.
Pening.
Dua insan yang istimewa ini menghimpit perasaan. Aku tidak kisah akan rupa mahupun harta. Aku cuma mahukan yang lebih memahami dan menyayangi. Antara keduanya, aku tidak tahu mana yang lebih berhak aku kasihi.