Isnin, 2 Februari 2015

Pesanan Ayah Asla

"Tak payah rumitkan benda yang remeh. Engko rumitkan benda remeh ni buat sakit kepala hotak engko jer. 
Buat apa nak peningkan kepala ? Biorkan jer.

Sama jugak macam bila orang tak nak dekat engko. Engko pegi meratap sedih sedu sedan nak buat ape ? Biorkan ler. Kalau dia takde bukannya engko mati pun. Ada engko sesak nafas bila dia tak tegur engko ? Ada engko pengsan sampai koma masuk ICU bila dia tak jumpa engko ? Ada ? Dah tu ? Tak payah nak runsingkan kepala hotak engko tu. Baik ko pikir pasal subjek Anatomi aku ni ha. Ada jugak pekdahnya. Untung-untung dapat jugak A besok. Tak payah engko nak repeat paper aku.

Sama jugak macam belajor. Engko tak nak pakai tali leher, tapi Sibem suruh engko pakai. Engko pakai jer la. Pikir mudah jer. Kalau engko pikir kusut kepala, engko pikirkan panas, memang panas ler jadinya. Tak payah susah-susah. Pakai aje. Engko pun selamat, takde kena bebel. Kan mudah ? Hidup ni mudah jer, nak oi. Jangan susah-susah."

- Pesanan Ayah Asla.

Agak kasar, tapi ada betulnya. Beliau selalu ajar aku supaya jadi lebih kental, lebih keras jati diri. Dia selalu nasihatkan aku supaya jadi anak yang baik, jadi insan berguna dan ubah nasib keluarga. Pada awalnya beliau memang agak dingin, selalu tegur aku dengan cara yang kasar, tapi akhir-akhir ini beliau makin rapat dengan aku. Sekurang-kurangnya, walaupun aku tiada ayah, Ayah Asla berjaya mengambil alih tugas ayah aku untuk sentiasa menasihati aku. Alhamdulillah, Allah swt hantarkan seorang guru yang sangat prihatin untuk aku. 

Jumaat, 2 Januari 2015

Jumaat Buat 2 Beranak

Jumaat yang lengang.
Bosan betul bila tidak ramai pembeli. Aku jadi tak tentu hala pula disebabkan tiada lerja yang nak aku lakukan. Jadi aku terus duduk melayari internet sambil telefon pintar memainkan lagu-lagu rock keras kumpulan System of a Down (SoaD). Asyik membaca timeline di laman-laman sosial, aku didatangi dua beranak yang mahu melihat menu jualan. Keduanya kelihatan dahaga. Si ayah hanya memakai kemeja kuning lusuh dan anak lelakinya masih lagi menyarung uniform sekolah menengah dengan songkok hitam di kepala. Namun setelah meneliti menu yang terpampang, mereka berdua pergi meninggalkan kiosk jualan aku.

Tidak lama selepas itu, aku lihat mereka berdua duduk di tangga di hadapan hentian bas dengan air mineral di tangan. Sayu. Mungkin pakcik itu tidak mempunya wang yang cukup untuk membelikan frappe untuk anak lelakinya. Namun mereka kelihatan senang. Tidak nampak seperti orang yang tertekan. Mereka senang berbual berdua sambil menunggu bas. Si anak yang mungkin baru lepas mendaftar ke tingkatan satu itu juga tidak nampak seperti bersedih. Redha. Mungkin itu solusinya.

Bahagia betul aku melihat dua beranak itu duduk bersembang. Si anak asyik memandang mata si ayah yang leka bercerita. Tenang. Terasa seperti mahu aku turut serta mendengar. Betapa besar kasih seorang ayah yang tetap membesarkan anaknya dengan baik meskipun serba kekurangan. Sesungguhnya anak lelaki itu beruntung kerana dia masih punya seorang ayah yang prihatin dan penyayang. Tidak perlu kenal, daripada mata dan air mukanya aku boleh memahami. Indahnya kasih yang tercurah buat si anak. SubhanAllah. Semoga anak itu menjadi anak yang soleh untuk memegang tanggungjawabyang dipikul oleh si ayah kelak. Amin.

Isnin, 10 November 2014

Aku Lupa

Hari ini, setelah 12 hari berlalu, kau datang semula. Janggal. Aku tak keruan, apatah lagi pada waktu itu aku sedang bekerja. 

Kau perhatikan aku. Aku tahu itu. Ekor mata aku nampak kau renung aku. Lagilah aku jadi menggelabah, sebab yang dinanti dan diharapkan merenung tanpa henti. Tapi disebabkan rajuk yang masih bersisa, aku buangkan rasa itu jauh-jauh. Yang aku tonjolkan cuma wajah yang tak beriak. Selamba, walau dalam hati Tuhan saja yang tahu betapa aku mahu melepaskan rinduku. Rasa bagai nak aku peluk, nak aku cubit-cubit. Kenapalah terlalu lama ?

Disebabkan ego, aku tak menghiraukan kau. Aku biarkan kau bercakap seorang diri. Mengomel pasal kerja kau, pasal kita dah lama tak jumpa, pasal aku sombong (padahal kau yang sombong) dan semua ketidakpuasan hati kau dengan rakan sekerja. Aku tak peduli. Aku buat-buat sibuk. Akhirnya kau mengeluh, lalu berlalu pergi.

Terpempan seketika, saat aku melihat kau membelakangi aku dan melangkah menjauh. Makin lama, makin jauh. Langkah yang perlahan, seperti kau mahu aku menahan kau daripada melangkah lebih jauh lagi. Aku mahu tahan, tapi aku tak mampu berteriak mengeluarkan suara. Aku hanya melihat. Kau menoleh ke arahku secara tiba-tiba. Aku alihkan pandangan. Kau hidupkan enjin kereta, tak lama selepas itu kau terus memacu laju. 

Sesampainya aku di rumah, aku menghubungi kau dengan tujuan mahu kembali seperti biasa. Namun kau tutup telefon. Aku hantar mesej, aku hantar WhatsApp. Senyap. Marahkah kau ? Rajukkah kau ? Mungkin cara aku salah. Maafkan aku. Aku cuma mahu tunjukkan yang aku terasa hati. Aku mahu kau tahu yang kau telah buat aku terlalu rindu. Aku mahu kau lebih denganku. Tapi aku lupa kau punya banyak masalah. Aku lupa tekanan kerja kau, tekanan hidup kau. Aku lupa kau juga perlukan ruang. Aku lupa tentang kau. Aku fikir kau sudh tidak mahu meneruskan semua ini lagi. Aku fikir kau tidak perlukan aku lagi. Tapi aku tidak berada di sisi kau saat kau perlukan pendengar yang baik. Aku tidak menghiraukan kau bila kau datang mengadu. Aku cuma tahu menunjuk perasaan, mengikut emosi. 

Sayang, aku sayang. Kerana aku terlalu sayanglah, aku tersilap. Aku mahu kau sayangi aku seperti aku menyayangi kau. Aku sayang. 

Selasa, 4 November 2014

Tamaknya dek Rindu

Aku ni tamak rupanya.
Bila kau layan aku ala kadar jer, aku nak lebih.
Bila kau jumpa aku kadang-kadang jer, aku nak selalu.
Tamaknya aku hingga tak sedar kedudukan diri sendiri.

Aku bukannya yang istimewa untuk kau pun, bukannya yang paling kau sayang, bukan isteri, tunang mahupun kekasih kau. Tapi aku selalu mengharapkan lebih. Tak sedar diri.

Ya, aku memang mahukan lebih lagi sebab aku dah berikan lebih daripada yang aku mampu untuk kau. Aku berikan kasih sayang, perhatian, rindu-rindu aku, malah aku tak berkira soal harta benda. Bila dengan kau, aku jadi terlalu pemurah. Aku tak kisah apapun. Aku sanggup berikan. Kau sakit, aku carikan ubat. Kau lapar, aku belikan makanan. Kau teringin nak makan subway, aku belikan juga walaupun mahal.

Mungkin benar cinta itu buta dan membutakan. Setelah apa yang aku lakukan, kau langsung tak nampak. Kadang-kadang kau anggap aku macam tak wujud. Suka hati bila kau nak sapa, suka hati bila kau nak bergurau, suka hati bila kau nak hirau. Kau layan aku ikut mood kau. Kalau kau sunyi, kau cari aku. Bila kau terasa nak berkongsi kegembiraan mahupun kesedihan, kau cari aku. Kalau tak, aku macam tak wujud. Penting ke tidak aku ni pada kau ?

Aku pun tahu rasa penat. Penat bila setiap usaha sia-sia. Penat bila setiap pengorbanan kau tak pandang, tak hargai. Bukannya aku mahukan balasan atas apa yang aku berikan, tetapi aku hanya mengharapkan kau juga seperti aku. Tapi aku tahu harapan hanya tinggal harapan. Klise tu, aku tahu. 

Rasa penat kadangkala buat aku putus asa. Aku penat mahu mencuba lagi. Lalu aku putuskan untuk hanya melupakan dan teruskan perjalanan tanpamu. Tapi malangnya, aku tewas kepada runtunan rindu. Bila aku rindukan kau, aku hilang rasa marah. Bila aku rindukan kau, aku lupa semua perbuatan kau, malah aku sedia memaafkan kau yang sering mengecewakan. Betapa kuatnya rasa rindu mampu mempengaruhi minda. Aduh, sakit.

Akhirnya, aku biarkan keputusan di tangan kau. Jika kau mahu, kau datang. Jika kau terus membisu, aku juga akan terus begitu. Mungkin rindu juga akan mengalahkan ego kau. Siapa tahu, kan ? InsyaAllah, amin.

Isnin, 27 Oktober 2014

Mata Kesayanganku, Gembiralah.

Hari ini kau datang lagi.
Tersenyum nakal mengusikku, mengejutkan aku dari angan yang melayang jauh meskipun buku kubuka luas. Aku tersenyum.
Bahagia.
Bahagia kerana sang pujaan hati datang menyapa. Alangkah girangnya rasa hati. Namun senyum nakalmu itu tidak bertahan lama. Diakhir senyummu terpalit riak duka.
Ah, aku cukup bencikan riak itu. Riak yang menandakan kau tidak seceria selalu. Riak yang tidak menampakkan tawa sukamu. 

Akhirnya kau meluahkan apa yang terbuku di dada. Terluah, melimpah semua yang kau pendamkan di hadapanku. Kau luahkan segala kesedihan dan kedukaan itu. Kau merintih pilu di hadapanku akan betapa penatnya kau, betapa tidak adilnya mereka dan betapa lemahnya kau mahu menghadapi semua. Hinggakan terdetik di hati kau untuk meninggalkan semua ini kerana kau tidak sanggup lagi untuk menempuhnya. 

Sakit yang kau rasa, sakit juga hati aku terasa. Setiap rintihan yang kau luahkan bagai mencarik-carik hatiku yang turut lara. Melihat mata itu, mata yang selalunya berkelip riang, mata yang selalunya memandangku tenang, tapi hari ini mata itu terlalu sayu. Mata kesayanganku itu hari ini terlalu pilu. Pilunya tercantum di jiwaku. Berat, perit terasa dibahu meskipun bukan aku yang memikul sendu.

Apalah dayaku untuk membantu, apatah lagi mahu melenyapkan segala rasa yang membuntu. Aku hanya mampu mendoakan agar Dia membantu meringankan bebanmu, agar Dia membantu menguatkan hatimu untuk tabah menghadapi dugaan ini.

Jika dengan meninggalkan semua ini mampu membuat kau sedikit lega, maka pergilah.
Jika dengan berhijrah mampu mengembalikan keceriaan di wajah kesayanganku itu, maka lakukanlah.
Dan apa sahaja yang kau mahu lakukan untuk melenyapkan lelah menyempitkan dada, akan aku dorongi.
Asalkan itu yang terbaik untuk kau, aku suka. Meskipun nanti kita bakal menjauh, meskipun nanti kita jarang bertemu, itu lebih aku relakan daripada melihat kau begini. 
Kerana itu lebih baik daripada aku melihat mata kesayanganku itu pilu, lebih baik daripada melihat wajah pemilik hatiku itu sugul.