Jumaat, 2 Januari 2015

Jumaat Buat 2 Beranak

Jumaat yang lengang.
Bosan betul bila tidak ramai pembeli. Aku jadi tak tentu hala pula disebabkan tiada lerja yang nak aku lakukan. Jadi aku terus duduk melayari internet sambil telefon pintar memainkan lagu-lagu rock keras kumpulan System of a Down (SoaD). Asyik membaca timeline di laman-laman sosial, aku didatangi dua beranak yang mahu melihat menu jualan. Keduanya kelihatan dahaga. Si ayah hanya memakai kemeja kuning lusuh dan anak lelakinya masih lagi menyarung uniform sekolah menengah dengan songkok hitam di kepala. Namun setelah meneliti menu yang terpampang, mereka berdua pergi meninggalkan kiosk jualan aku.

Tidak lama selepas itu, aku lihat mereka berdua duduk di tangga di hadapan hentian bas dengan air mineral di tangan. Sayu. Mungkin pakcik itu tidak mempunya wang yang cukup untuk membelikan frappe untuk anak lelakinya. Namun mereka kelihatan senang. Tidak nampak seperti orang yang tertekan. Mereka senang berbual berdua sambil menunggu bas. Si anak yang mungkin baru lepas mendaftar ke tingkatan satu itu juga tidak nampak seperti bersedih. Redha. Mungkin itu solusinya.

Bahagia betul aku melihat dua beranak itu duduk bersembang. Si anak asyik memandang mata si ayah yang leka bercerita. Tenang. Terasa seperti mahu aku turut serta mendengar. Betapa besar kasih seorang ayah yang tetap membesarkan anaknya dengan baik meskipun serba kekurangan. Sesungguhnya anak lelaki itu beruntung kerana dia masih punya seorang ayah yang prihatin dan penyayang. Tidak perlu kenal, daripada mata dan air mukanya aku boleh memahami. Indahnya kasih yang tercurah buat si anak. SubhanAllah. Semoga anak itu menjadi anak yang soleh untuk memegang tanggungjawabyang dipikul oleh si ayah kelak. Amin.

Isnin, 10 November 2014

Aku Lupa

Hari ini, setelah 12 hari berlalu, kau datang semula. Janggal. Aku tak keruan, apatah lagi pada waktu itu aku sedang bekerja. 

Kau perhatikan aku. Aku tahu itu. Ekor mata aku nampak kau renung aku. Lagilah aku jadi menggelabah, sebab yang dinanti dan diharapkan merenung tanpa henti. Tapi disebabkan rajuk yang masih bersisa, aku buangkan rasa itu jauh-jauh. Yang aku tonjolkan cuma wajah yang tak beriak. Selamba, walau dalam hati Tuhan saja yang tahu betapa aku mahu melepaskan rinduku. Rasa bagai nak aku peluk, nak aku cubit-cubit. Kenapalah terlalu lama ?

Disebabkan ego, aku tak menghiraukan kau. Aku biarkan kau bercakap seorang diri. Mengomel pasal kerja kau, pasal kita dah lama tak jumpa, pasal aku sombong (padahal kau yang sombong) dan semua ketidakpuasan hati kau dengan rakan sekerja. Aku tak peduli. Aku buat-buat sibuk. Akhirnya kau mengeluh, lalu berlalu pergi.

Terpempan seketika, saat aku melihat kau membelakangi aku dan melangkah menjauh. Makin lama, makin jauh. Langkah yang perlahan, seperti kau mahu aku menahan kau daripada melangkah lebih jauh lagi. Aku mahu tahan, tapi aku tak mampu berteriak mengeluarkan suara. Aku hanya melihat. Kau menoleh ke arahku secara tiba-tiba. Aku alihkan pandangan. Kau hidupkan enjin kereta, tak lama selepas itu kau terus memacu laju. 

Sesampainya aku di rumah, aku menghubungi kau dengan tujuan mahu kembali seperti biasa. Namun kau tutup telefon. Aku hantar mesej, aku hantar WhatsApp. Senyap. Marahkah kau ? Rajukkah kau ? Mungkin cara aku salah. Maafkan aku. Aku cuma mahu tunjukkan yang aku terasa hati. Aku mahu kau tahu yang kau telah buat aku terlalu rindu. Aku mahu kau lebih denganku. Tapi aku lupa kau punya banyak masalah. Aku lupa tekanan kerja kau, tekanan hidup kau. Aku lupa kau juga perlukan ruang. Aku lupa tentang kau. Aku fikir kau sudh tidak mahu meneruskan semua ini lagi. Aku fikir kau tidak perlukan aku lagi. Tapi aku tidak berada di sisi kau saat kau perlukan pendengar yang baik. Aku tidak menghiraukan kau bila kau datang mengadu. Aku cuma tahu menunjuk perasaan, mengikut emosi. 

Sayang, aku sayang. Kerana aku terlalu sayanglah, aku tersilap. Aku mahu kau sayangi aku seperti aku menyayangi kau. Aku sayang. 

Selasa, 4 November 2014

Tamaknya dek Rindu

Aku ni tamak rupanya.
Bila kau layan aku ala kadar jer, aku nak lebih.
Bila kau jumpa aku kadang-kadang jer, aku nak selalu.
Tamaknya aku hingga tak sedar kedudukan diri sendiri.

Aku bukannya yang istimewa untuk kau pun, bukannya yang paling kau sayang, bukan isteri, tunang mahupun kekasih kau. Tapi aku selalu mengharapkan lebih. Tak sedar diri.

Ya, aku memang mahukan lebih lagi sebab aku dah berikan lebih daripada yang aku mampu untuk kau. Aku berikan kasih sayang, perhatian, rindu-rindu aku, malah aku tak berkira soal harta benda. Bila dengan kau, aku jadi terlalu pemurah. Aku tak kisah apapun. Aku sanggup berikan. Kau sakit, aku carikan ubat. Kau lapar, aku belikan makanan. Kau teringin nak makan subway, aku belikan juga walaupun mahal.

Mungkin benar cinta itu buta dan membutakan. Setelah apa yang aku lakukan, kau langsung tak nampak. Kadang-kadang kau anggap aku macam tak wujud. Suka hati bila kau nak sapa, suka hati bila kau nak bergurau, suka hati bila kau nak hirau. Kau layan aku ikut mood kau. Kalau kau sunyi, kau cari aku. Bila kau terasa nak berkongsi kegembiraan mahupun kesedihan, kau cari aku. Kalau tak, aku macam tak wujud. Penting ke tidak aku ni pada kau ?

Aku pun tahu rasa penat. Penat bila setiap usaha sia-sia. Penat bila setiap pengorbanan kau tak pandang, tak hargai. Bukannya aku mahukan balasan atas apa yang aku berikan, tetapi aku hanya mengharapkan kau juga seperti aku. Tapi aku tahu harapan hanya tinggal harapan. Klise tu, aku tahu. 

Rasa penat kadangkala buat aku putus asa. Aku penat mahu mencuba lagi. Lalu aku putuskan untuk hanya melupakan dan teruskan perjalanan tanpamu. Tapi malangnya, aku tewas kepada runtunan rindu. Bila aku rindukan kau, aku hilang rasa marah. Bila aku rindukan kau, aku lupa semua perbuatan kau, malah aku sedia memaafkan kau yang sering mengecewakan. Betapa kuatnya rasa rindu mampu mempengaruhi minda. Aduh, sakit.

Akhirnya, aku biarkan keputusan di tangan kau. Jika kau mahu, kau datang. Jika kau terus membisu, aku juga akan terus begitu. Mungkin rindu juga akan mengalahkan ego kau. Siapa tahu, kan ? InsyaAllah, amin.

Isnin, 27 Oktober 2014

Mata Kesayanganku, Gembiralah.

Hari ini kau datang lagi.
Tersenyum nakal mengusikku, mengejutkan aku dari angan yang melayang jauh meskipun buku kubuka luas. Aku tersenyum.
Bahagia.
Bahagia kerana sang pujaan hati datang menyapa. Alangkah girangnya rasa hati. Namun senyum nakalmu itu tidak bertahan lama. Diakhir senyummu terpalit riak duka.
Ah, aku cukup bencikan riak itu. Riak yang menandakan kau tidak seceria selalu. Riak yang tidak menampakkan tawa sukamu. 

Akhirnya kau meluahkan apa yang terbuku di dada. Terluah, melimpah semua yang kau pendamkan di hadapanku. Kau luahkan segala kesedihan dan kedukaan itu. Kau merintih pilu di hadapanku akan betapa penatnya kau, betapa tidak adilnya mereka dan betapa lemahnya kau mahu menghadapi semua. Hinggakan terdetik di hati kau untuk meninggalkan semua ini kerana kau tidak sanggup lagi untuk menempuhnya. 

Sakit yang kau rasa, sakit juga hati aku terasa. Setiap rintihan yang kau luahkan bagai mencarik-carik hatiku yang turut lara. Melihat mata itu, mata yang selalunya berkelip riang, mata yang selalunya memandangku tenang, tapi hari ini mata itu terlalu sayu. Mata kesayanganku itu hari ini terlalu pilu. Pilunya tercantum di jiwaku. Berat, perit terasa dibahu meskipun bukan aku yang memikul sendu.

Apalah dayaku untuk membantu, apatah lagi mahu melenyapkan segala rasa yang membuntu. Aku hanya mampu mendoakan agar Dia membantu meringankan bebanmu, agar Dia membantu menguatkan hatimu untuk tabah menghadapi dugaan ini.

Jika dengan meninggalkan semua ini mampu membuat kau sedikit lega, maka pergilah.
Jika dengan berhijrah mampu mengembalikan keceriaan di wajah kesayanganku itu, maka lakukanlah.
Dan apa sahaja yang kau mahu lakukan untuk melenyapkan lelah menyempitkan dada, akan aku dorongi.
Asalkan itu yang terbaik untuk kau, aku suka. Meskipun nanti kita bakal menjauh, meskipun nanti kita jarang bertemu, itu lebih aku relakan daripada melihat kau begini. 
Kerana itu lebih baik daripada aku melihat mata kesayanganku itu pilu, lebih baik daripada melihat wajah pemilik hatiku itu sugul.

Selasa, 7 Oktober 2014

Akhir Kata ..

Kenapa kita jadi macam ni ?
Apa sebabnya ?
Apa salah aku ?
Aku dah sakitkan hati kau ke ?
Aku tersalah cakap ke ?
Aku terover ke ?
Kau marah dengan aku ?
Kau tersinggung ?
Kau tak suka aku ke ?
Kenapa ?
Bagilah tahu aku. Jangan diam macam ni.

Kita yang dulunya sangat mesra jadi asing sebegini. Kita macam tak kenal antara satu sama lain. Bila kau nampak aku, kau buat-buat tak perasan aku. Padahal aku tunggu kau setiap hari. Dan setiap hari jugalah aku merasakan sakitnya bila kau tak hiraukan aku. Aku whatsapp pun kau tak nak reply. Aku nak call, tapi aku takut aku annoy kau pula. Aku takut aku mengganggu kau & kau tambah annoy pada aku. Aku tak nak kau tak suka aku. Aku tak nak kau benci atau menyampah dengan aku. Aku nak kau sentiasa suka aku, sentiasa sayang aku & sentiasa teringatkan aku. Aku nak kita macam dulu. 

Aku tak tahu kenapa tiba-tiba kita mengasing. Aku rindukan kau. Aku rindu kau yang dulu. Aku rindu kau yang nakal, degil, kelakar & selalu buli aku. Aku rindu kau sangat-sangat. Tapi aku tahu kau sikit pun tak rindukan aku. Aku tahu aku bukan siapa-siapa pun dalam hidup kau. Aku ni sekadar teman berborak, teman kau bercerita lepas masa kerja kau habis & teman berseronok saja. Aku tak istimewa dihati kau. Aku tahu tu. Aku sedar. Tapi kalaulah kau tahu betapa istimewanya kau dalam hati aku, aku rasa kau takkan percaya. 

Aku tak kisah wang ringgit, harta mahupun kesenangan. Aku relakan semuanya kerana perasaan aku ikhlas, bukan kerana apapun selain diri kau saja. Aku stalk kau setiap hari. Aku tengok balik semua gambar-gambar kau dalam phone aku. Aku tonton balik semua video-video kau yang pernah aku rakam. Termasuklah video paling aku suka, iaitu video di hari lahir kau 29 April yang lepas. Aku simpan semua. Tak pernah aku padamkannya. Biarlah banyak mana pun, penuh mana pun. Dalam laptop, dalam pendrive, memory card semua aku simpan. Aku sayang. Sebab aku tahu itu jer kenangan yang aku ada dengan kau. Maaf aku dah padam mesej-mesej kau. Aku padam sebab aku tak nak simpan nombor kau lagi. Aku tak nak mengganggu kau. Saja jer aku tak nak hafal nombor kau sebab aku tahu, kalau aku hafal, aku mesti akan hubungi kau. Aku takut kau tambah annoyed dengan aku nanti. Tapi jangan risau, selagi aku mampu aku akan jaga semua gambar & video kau. Aku jaga dengan baik. Itulah penguat hati aku bila aku rindukan kau. Itulah yang aku ada untuk aku tatap setiap hari bila aku rindukan kau. Itu jer yang ada. 

Aku berterima kasih juga pada kau sebab kau dah berikan momen yang sangat indah dalam hidup aku. Kau dah banyak buat aku ketawa, buat aku bahagia & buat aku ceria sepanjang kau ada dengan aku. Aku hargai. Walaupun kadang-kadang kau ada sakitkan hati aku dengan ego & hati kau yang keras tu, aku tak simpan dalam hati. Aku maafkan. Aku tak kisah pun sebab sayang aku pada kau lebih besar daripada itu semua. Terima kasih sebab kau dah bahagiakan aku walaupun sekejap. Terima kasih atas semua pemberian yang telah kau berikan. Tshirt, coklat, pizza, kfc, monumen klcc, beg, charger laptop, dan banyak lagi. Terima kasih sebab kau dah baiki laptop aku. Terima kasih atas semua yang telah kau lakukan untuk aku. Aku harap kau ikhlaskan semuanya. Aku harap kau halalkan makan & minum aku. Aku harap kau maafkan segala salah dan silap aku. Maafkan aku kalau aku ada tersilap kata, terkasar bicara, terpukul, termaki, termarah, terjeling, tertengking atau apa sahaja yang tidak aku sengajakan. Aku tak berniat untuk menyakiti kau apatah lagi untuk lihat kau sakit hati. Kadang-kadang aku terlepas cakap. Kadang-kadang aku terlebih aksi. Maafkan, maafkan aku. Aku memang selalu terover bila dengan kau. Maafkan aku, ya. 

Aku harap lepas ni kau akan terus berbahagia dengan hidup kau. Aku harap kau bahagia dengan keluarga, terus kekal sihat wal'afiat, jangan jatuh sakit, jangan marah-marah, jangan stres bila kerja, jangan lupa makan nanti perut masuk angin, jangan bawa kereta laju-laju, jangan tinggal solat, jangan lupa jaga diri & jagalah hati kau tu daripada disakiti. Aku tak nak apa-apa yang buruk berlaku pada kau. Aku nak kau okey jer. Aku nak kau happy & ceria jer. Kalau aku masih dengan kau, aku jaga kau. Tapi sekarang tak lagi. So aku harap kau jaga diri kau baik-baik ya. Jangan sakit, jangan ada apapun yang tak elok berlaku. Janji dengan aku ya ?

Aku doakan kau terus dilindungi oleh Allah swt daripada segala musibah & malapetaka. Doakan aku supaya aku dapat lupakan kau cepat ya ? Moga aku dapat tabahkan hati & kuatkan iman aku. Doa yang baik-baik saja untuk kita, amin.