Rabu, 15 Mei 2013

Dialah Guruku

Pagi itu senyumannya hambar
Mempamerkan kepenatan semalaman
Bibir tuanya tetap mengukir senyum
Tatkala kutegur, kusapa.

Setiap kali kupandang wajahnya
Tergambar seribu kesabaran
Terlihat sejuta pengorbanan
Untuk anak bangsa, bakal khalifah dunia.

Dialah guruku,
Tidak lokek mencurah segunung ilmu
Tidak lekang mencorak sahsiah bermutu
Tanpa kenal erti lelah dan jemu
Tetap terus anak muridnya dipandu.

Dialah guruku,
Yang tetap sabar dengan bermacam karenah
Yang tetap mengajar walau sakit dan lelah
Tanpa pernah merungut mahupun resah
Khalifah terbaik memimpin ummah.

Dialah guruku,
Guru yang mengajar tulis dan bacaku
Guru yang mengajar alam dan hidupku
Guru yang tetap mengajar tanpa menghiraukan kedegilanku
Guru yang jasanya tak terbalas walau sekelumit pun olehku.

Dialah guruku,
Guru terbaikku ..

SELAMAT HARI GURU !

Isnin, 13 Mei 2013

Sempurna

"Kau begitu sempurna
Dimataku kau begitu indah
Kau membuat diriku
Akan selalu memujamu.

Disetiap langkahku
Ku akan selalu memikirkan dirimu
Tak bisa kubayangkan
Hidupku tanpa cintamu.

Janganlah kau tinggalkan diriku
Takkan mampu kuhadapi semua
Hanya bersamamu ku akan bisa.

Kau adalah darahku
Kau adalah jantungku
Kau adalah hidupku
Lengkapi diriku
Sayangku kau begitu
Sempurna.."

Bait-bait lirik yang sangat menggambarkan apa yang kurasakan.
Andai dapat kulagukan lirik tersebut di hapadanmu, akan kunyanyikan dengan sepenuh hatiku buatmu.

Kau terlalu sempurna buatku.
Kau membuatkan senyuman ini tidak pernah lekang dari bibirku.
Kau membuatkan hati ini merasakan kasih sayang dan perhatianmu.
Kau menarikku untuk terus menyayangimu ..

Andai saja kau menjadi pengganti kepada arwah bapaku, akan kusayangi dan kuhormati kau seperti mana aku menyayangi dan menghormati arwah bapaku, bahkan mungkin lebih.
Kerna aku pernah merasakan kehilangan.
Oleh itu aku tidak mahu merasakannya lagi.

Cukup sekali ..

Terima kasih kali sejuta atas segala yang telah kau curahkan.
Kuhanya mampu berterima kasih.
Segalanya pasti 'kan ku titipkan dihati.

Walid ..

Ahad, 12 Mei 2013

Terima Kasih, 'Walid' !!

Syukran !

Memang pada mulanya aku langsung tak berkeinginan untuk menyertai Kejohanan Hoki Peringkat Negeri Melaka ini. Rasanya tahap kemalasan aku lebih tinggi dari keinginan dan semangat kesukananku. Namun, hari ini aku bersyukur dengan penglibatanku dalam kejohanan ini.

Bukan saja aku dapat sijil bertaraf negeri, tapi aku juga dapat meluangkan masa bersama bekas bapa angkatku, yang ku panggil Walid. Aku dapat berbual bersamanya, makan minum bersamanya, berkongsi kisah-kisah kelakar dan cerita hantu. Biarpun agak klise, tapi ia amat membahagiakan.

Terasa kembali eratnya hubungan antara anak dan bapa. Terasa kehadiran kasih sayang dan belaian seorang bapa. Sikap kebapaannya sangat terserlah pabila bersama kami. Bahkan Walid jugalah yang telah menjaga hal-hal kebajikan kami selama tournament ini berlangsung. Dibelikannya minuman bertenaga, makanan, sarapan dan sebagainya. Aku hargai!

Tapi, ini mungkin kali terakhir aku dapat bersamanya serapat dan semesra ini. Kerana tahun ini adalah tahun terakhirku di bangku sekolah. Bermakna selepas ini tiada sebab munasabah lagi untuk aku bersamanya. Apatah lagi setelah krisis aku dan isterinya. Oleh itu, aku harus menggunakan peluang yang singkat ini sebaiknya.

Ambil gambar bersama-sama, makan minum bersama-sama, berbual bersama-sama, dan pergi balik bersama-sama. Alhamdulilah, aku hargai segala pengorbanannya. Walau pun baru dua tahun di bawah jagaannya sebagai jurulatih, hal kebajikan tidak pernah menghampakan. Dia sangat prihatin terhadap kami sepasukan dan dia sangat supportive. Memang, sikap kebapaannya jelas terserlah. Aku tersentuh.

Muhd Wafiq Ibsahaj, Muhd Wazain Ibtihaj dan Muhd Waseem (tak tahu nama penuh), kalian beruntung kerna mempunyai seorang bapa yang bertanggungjawab dan sangat prihatin sepertinya. Sangat beruntung !

Harapanku, semoga dia terus bahagia bersama keluarga bahagianya dan terus menjadi jurulatih yang baik kepada pasukan St. David's High School. Dan sudah pasti, kenangan dan pengorbanannya akan kuukirkan dalam memoriku yang paling dalam dan akan selalu kuhargai.

Saaaayaaaaaannng WALID !! :')

Khamis, 9 Mei 2013

Mustahil

Teringat kembali detik itu
Saat pertama kali mata tertancap padamu
Kaku
Kecanduan itu memaksa mataku
Terus merenungmu
Dalam.

Mahu kupercaya
Namun hatiku menafikan
Sedarkah aku?
Mimpikah aku?

Jelas sekali aku terpaku
Menggeletar sendi dan uratku
Bagai punya satu magis
Mengawal seantero rasaku.

Tiada insan selainmu
Mampu memperlakukanku sebegitu
Dalamnya rasa ini
Kadang kala membunuhku
Tatkala kusedari dirimu dipagari
Tembok tiada berpintu
Jika kuhadir pun, tidakkan direstu.

Mustahil
Hanya itu jawapan terakhir
Dan itu juga
Lambang dirimu, buatku ..

Selasa, 7 Mei 2013

Doa Buat Kau Kesayanganku

Entah mengapa. Petang itu aku teringat kata-kata sahabatku. Nasihatnya tentang si dia yang kusayangi,

"Kau yakin?
Kau yakin dengan cinta yang kau cipta ini?
Bagaimana jika dia punya zuriat kelak?
Bagaimana jika dia sudah tua nanti?
Bagaimana jika dia sudah tiada lagi nanti?
Bukan apa,
Tapi kita kena bersedia.."

Aku tersentak. Persoalan yang diajukannya memang tidak pernah terlintas di kepalaku. Selama ini aku hanya melayan 'kebahagiaan' yang kuciptakan. Tak pernah terfikir sampai ke tahap itu. Apa lagi sehingga ke tahap ketiadaannya. Ketiadaan dia yang sangat kusayangi!

Luluh hati ini mendengar persoalan itu. Aku tahu ia hakikat sebenar. Namun aku langsung tidak bersedia. Mampukah aku melaluinya nanti? Mampukah aku merelakan kepergiannya nanti? Bukannya mahu memikirkan yang buruk, tapi hal ini terdetik di hati untuk kufikirkan. Aku sendiri tidak mampu untuk mencari jawapan untuk persoalan ini.

Aku akui, aku sangat serik untuk merasa lagi kehilangan orang yang kusayang. Pemergian arwah bapaku 12 tahun lalu sudah cukup menyiksa batinku. Ditambah pemergian nendaku yang kusayangi kerana aku paling rapat dengannya. Nendaku yang telah membelaku sedari kecil hinggaku di darjah 5. Memori sepanjang bersama arwah bapa & arwah nendaku cukup segar di ingatanku hingga saat ini. Aku mampu mengingati suara mereka, gelak tawa mereka, senyuman mereka, gurau senda mereka. Semuanya masih di ingatan. Tidak pernah lekang walau sekejap. Kerna aku masih menyayangi mereka. Aku masih belum rela untuk kehilangan mereka. Aku masih merindukan mereka. Dan kerna itu juga aku mudah tersentuh saat terlihat rakan-rakanku bermanja bersama bapa mereka. Sedangkan aku, seorang anak gadis yang tidak berbapa. Namun kusyukuri takdirku kerna aku masih punya ibuku.

Tapi jika berkaitan si dia, aku buntu. Seperti tiada jalan keluar meski kutahu jalan keluar itu sentiasa dalam genggamanku. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana hendakku terima hakikat itu apabila dia sudah tiada. Pernah suatu masa dulu, si dia cedera di lutut & tangan sewaktu bekerja. Itupun aku sudah tidak tertahan air mata kerna terlalu merisaukannya. Apa lagi bila keadaannya menjadi lebih buruk mahupun tatkala dia terus lenyap nanti? Aku takut. Aku takut untuk merasai sakitnya jiwa apabila insan tersayang dirampas dariku. Aku takut hendak mendengar berita sedih itu. Aku takut hendak menghadapinya. Terlalu takut!

Oleh sebab itu, setiap kali aku berdoa ke hadrat Ilahi, aku pasti mendoakannya. Aku pasti mendoakan orang-orang yang kusayangi. Kudoakan agar mereka diberikan kesihatan yang baik. Kudoakan semoga mereka dilindungi daripada segala kecelakaan dan marabahaya. Kudoakan mereka agar diberikan kebahagiaan, ketenangan dan rezeki yang melimpah-ruah dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Itu harapanku, melihat orang-orang yang aku sayangi bahagia dan dalam keadaan baik-baik saja.

"Ya rabb, janganlah kau tarik orang-orang yang aku sayang daripadaku. Kau kasihanilah aku. Tapi jika memang itu takdirnya, Kau kuatkanlah diriku untuk menghadapinya. Kau bantulah aku untuk melaluinya walau berapa kali pun sepanjang hidupku. Dan sebelum Kau tarik mereka 'pulang', Kau berilah aku kesempatan bersama mereka selama hayatnya. Berilah aku peluang untuk kubahagiakan mereka dahulu, ya rabb. Agar aku tidak merasa ralat atau terkilan di saat aku harus melepaskannya, ya Allah.."